Kali ini, DAP akan mempertaruhkan kembali Liou Chen Kuang yang tewas pada pilihan raya umum lalu untuk menentang calon BN pada pilihan raya kecil DUN Machap pada 12 April ini.
Pada pilihan raya umum ke-11, Chen Kuang tewas kepada calon BN, Datuk Wira Poh Ah Tiam dengan majoriti 4,562 undi. Beliau memperoleh 1,285 undi sementara Ah Tiam mendapat 5,847 undi.
Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng yang sebelum ini disebut-sebut akan bertanding di kerusi Mackap berkata, “DAP yakin dengan pengetahuan Chen Kuang tentang selok-belok keadaan di Machap, dia mampu memberi tentangan terhadap siapa jua calon BN nanti. Chen Kuang juga mendapat sokongan padu daripada peringkat akar umbi di Kampung Permai dan Kampung Machap Baru di sini’.
Pemuda BN ~ ‘Sedia Gempur’.
Dalam perkembangan lain, Pemuda BN memberi amaran awal kepada pembangkang bahawa sayap parti itu kini telah bersiap sedia untuk menggempur bagi memastikan BN mencipta kemenangan besar pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Pemuda BN, Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelancaran jentera pilihan raya di Machap itu bermakna bermulalah gerakan seluruh jentera pilihan raya Pemuda BN di seluruh negara.
“Di sini saya ingin mengingatkan bahawa jentera kita ini bukan sahaja bergerak untuk pilihan raya Machap. Di sini hanyalah permulaan untuk kita mencipta kemenangan besar. Tetapi yang penting kita mahu sampaikan mesej kepada pembangkang bahawa kita telah bersiap sedia untuk menggempur bagi pilihan raya umum akan dating.
Matlamat Pemuda BN sekarang bukan sahaja untuk memastikan kemenangan calon BN di sini tetapi ialah untuk memastikan calon pembangkang hilang wang pertaruhan. Jika BN mencipta kemenangan besar di Machap dengan majoriti yang lebih besar, jelasnya, ia akan menjadi pemangkin kepada parti untuk mencipta kemenangan gemilang dalam pilihan raya umum nanti. Sekarang ini Pemuda BN telah bulat tekad, bulat azam untuk memastikan BN menang walaupun siapa sahaja calon yang akan bertanding. Pemuda BN tidak akan mengambil jalan mudah walaupun tiada pertandingan, tetapi kita akan tetap menggempur. Inilah kelebihan BN”.


0 Komen
Post a Comment