Nadiah Amirah Jamil, dilantik menjadi Duta Akademik GPMS, akan menyertai jelajah anjuran GPMS selama sebulan mulai 27 Mac ini untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar di sekolah terpilih.Presiden GPMS, Dato' Reezal Merican Naina Merican berkata, GPMS dapat melihat kesungguhan dan keikhlasan Nadiah dalam membudayakan ilmu dan pemilihan beliau sebagai duta pertubuhan itu dibuat bagi membolehkan rahsia dan resipi kejayaannya dapat dikongsi bersama dengan pelajar lain khususnya mereka yang bakal menduduki peperiksaan.
“GPMS memilihnya sebagai Duta Akademik kerana kita amat kagum bagaimana dia berani mencabar diri sendiri sehingga sanggup mengambil 19 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM. Kehidupannya pula sederhana dan dia hanya bersekolah di sekolah menengah harian. GPMS hendak wujudkan fenomena semangat Nadiah di Malaysia. Pada 27 Mac ini, akan bermulalah program jelajah motivasi Nadiah ke seluruh Negara.
Nadiah akan bertemu para pelajar dan ahli-ahli GPMS di dua tempat di setiap negeri bagi berkongsi resipi kejayaan itu dengan para pelajar lain. Nadiah menggambarkan sikap pejuang sebenar kerana dia melihat kejayaan dalam SPM bukan milik dirinya seorang. Dia berasa bertanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai anak bangsa yang berjaya sepertinya demi kepentingan agama dan Negara”.


0 Komen
Post a Comment