Pemuda UMNO Desak Tony Pua Minta Maaf Kerana Perlekeh Graduan Melayu

Pergerakan Pemuda UMNO dari segenap lapisan membantah keras kenyataan berbau perkauman daripada penasihat ekonomi kepada Setiausaha Agung Dap, Tony Pua.

Senada dengan kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Sdr Khairy Jamaluddin, Pemuda UMNO dengan ini mendesak Tony Pua dan Dap meminta maaf bukan sahaja kepada masyarakat Melayu, malah masyarakat berbilang kaum yang selama ini menghargai dan memelihara perpaduan bangsa dan agama di negara ini.

Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Abdul Rahman Dahalan, menegaskan bahawa permasalahan graduan Melayu ialah apabila syarikat-syarikat swasta terutamanya bukan Melayu tidak memberi peluang sama rata kepada graduan Melayu.

Beliau menjelaskan, syarikat-syarikat berkenaan meletakkan banyak syarat-syarat yang tersurat dan tersirat yang menyukarkan graduan Melayu berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Saya mencabar Tony Pua untuk memberi statistik berapa orang pekerja Melayu yang diambil oleh syarikat swasta bukan Melayu dan samada halangan seperti keperluan mengetahui bahasa Mandarin dan suasana bekerja yang tidak kondusif sengaja diadakan atau tidak,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa syarikat swasta bukan Melayu tidak bersungguh-sungguh membantu graduan Melayu atas agenda-agenda tertentu.

“Saya tidak percaya, semua graduan Melayu tidak mempunyai kelayakan yang berpatutan untuk memohon kerja dengan syarikat swasta bukan Melayu. Maka itu jangan salahkan kerajaan kerana membantu menyediakan pekerjaan kepada mereka.

Ini jelas menunjukkan bahawa Tony adalah penghasut perkauman dan pengkhianat Negara, serta tidak sekali-kali layak sebagai penasihat untuk sebarang bidang,” katanya.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Shamsul Anuar Nasarah pula mengingatkan Dap supaya jangan sesekali membangkitkan perkara yang boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni dalam negara ini ketika tumpuan rakyat menyambut 50 tahun kemerdekaan negara ini.

Katanya, memang perangai pemimpin Dap seperti Tony sentiasa mahu menimbulkan isu yang memperlihatkan seolah-olah tindakan dan dasar yang dibuat oleh kerajaan semuanya tidak betul.

Namun, beliau berkata, kenyataan Tony itu jelas memperlihatkan pendirian DAP yang cuba menidakkan sumbangan besar kakitangan kerajaan dalam pembangunan negara ini ketika semua pihak mengakui bahawa kakitangan sektor awam negara ini adalah yang terbaik dan mendapat pengiktirafan besar kerajaan dan masyarakat antarabangsa.

Sebab itulah, katanya, kerajaan memberikan insentif baru dengan menaikkan gaji kakitangan awam, baru-baru ini, bukan sahaja sebagai jentera yang selama ini membina dan mengisi kemerdekaan Negara, malah sebagai pemacu Misi Nasional menuju Wawasan 2020.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Belia Malaysia, menjelaskan apa yang disebut oleh Tony juga berniat jahat dan cuba menimbulkan kemarahan kaum lain kepada kerajaan, ini sesuatu yang tidak betul dan Dap perlu bertanggungjawab dan memohon maaf kepada kerajaan sedangkan apa yang dibuat oleh kerajaan hari ini ialah untuk kebaikan semua kaum.

Dato’ Shamsul juga berkata, sebenarnya Dap semakin goyah dengan langkah kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada kakitangan baru-baru ini dan mereka melihat langkah tersebut mengurangkan sokongan rakyat kepada mereka dan kerana itu Dap cuba menimbulkan kemarahan pihak lain kepada rakyat.

“Kenyataan Tony Pua adalah tidak benar dan merupakan satu penghinaan kepada seluruh kakitangan awam dengan menganggap bahawa kakitangan awam yang bekerja sekarang kebanyakannya adalah diambil kerana setelah mereka tidak berjaya memperolehi pekerjaan di sektor lain sedangkan kakitangan awam dipilih adalah terdiri daripada mereka yang berkelayakan dan berkemampuan,” katanya.

Justeru itu, beliau mendesak Tony menarik balik kenyataannya kerana ia merupakan satu penghinaan kepada kualiti, kreadibiliti dan keupayaan kakitangan kerajaan di negara ini. DAP perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan itu dan jangan menganggap ianya bersifat peribadi kerana kenyataan tersebut telah menimbul dan menguris hati kakitangan kerajaan.

Exco Pemuda UMNO, Dato’ Idris Haron berkata, kenyataan Tony tidak berasas dan mempunyai kepentingan politik dan agenda peribadi untuk popularitinya di kalangan Dap dan kaumnya.

Beliau berkata, Kerajaan sentiasa membuka ruang dan peluang kepada semua graduan untuk menyertai skim peluang graduan menganggur. Kerajaan sama sekali tidak membeza-bezakan antara kaum, ini menunjukkan Tony tidak bersikap matang dan mempunyai agenda tertentu untuk memburuk-burukkan kerajaan dan ia bertujuan memecah-belahkan perpaduan yang telah dibina sekian lama semenjak kita merdeka.

Katanya, sebelum buat sebarang kenyataan, eloklah Tony berfikiran jauh dan membuat kajian, termasuk mengenai punca graduan ini memilih berkhidmat dalam sektor awam. “Mengapa DAP menimbulkan perkara ini sedangkan sektor awam ini terbuka untuk semua kaum di Malaysia seperti yang selalu dijelaskan dalam Dewan Parlimen. Mungkin wakil Dap di Parlimen tidak menyebarkan maklumat sebenar kepada ahlinya selepas penjelasan, statistik dan fakta dibentangkan di Parlimen.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu menegaskan, kenyataan Tony bersifat perkauman dan tidak menghormati profesion kakitangan awam yang jelas berbakti untuk kerajaan dan negara. Oleh itu, Tony mesti meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

  1. bagaimana pula kes lina joy, ekstremis ca ya nun alif kan main lagi mainkan isu tu..

    apa tindakan pemuda umno... x kan senyap je,,, bkn ke selama ini diwar2kan pemuda umno sebagai pendesak... asyik suruh org minta maaf je...

    mana peginye semangat dulu... mcm isu dong jiong zhou(ntah betul ntah idak sebutan, x tau la den)

Post a Comment