AMAN Malaysia terus tabur bakti ke bumi Bangladesh


Demi Kemanusiaan……Datuk Muhkriz Mahathir Menunjukkan Gambar-gambar Keadaan Di Wilayah Paling Teruk Dilanda Taufan Sidr Di Bagarhat Dan Sharamkula Yang Setakat Ini Telah Meragut Lebih 10,000 Nyawa. Pasukan Bantuan Aman Malaysia Meneruskan Misi Kemanusiaan Antarabangsanya Apabila Menghantar Pasukan Perubatan Untuk Membantu Mangsa Taufan Di Wilayah Berkenaan. Pasukan Yang Terdiri Daripada Dua Orang Doktor, Tiga Pembantu Perubatan Dan Tujuh Sukarelawan Akan Berada Di Sana Selama Dua Minggu Sebelum Pasukan Kedua Menyusul.


Pasukan Bantuan Kemanusiaan AMAN Malaysia telah bertolak ke Bangladesh bagi meneruskan misi bantuannya selama dua minggu membantu mangsa yang teruk dilanda taufan Sidr di wilayah Bagarhat dan Sharamkula.

Penyelarasnya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata pasukan yang disertai 12 anggota itu akan berada di wilayah terbabit selama dua minggu. Laporan pasukan peninjau AMAN Malaysia yang telah berada di sana sejak 26 November lalu mendapati keadaan di sana memerlukan bantuan segera terutama ubat-ubatan dan bekalan air bersih.

Walaupun keadaan di sana tidak seteruk bencana tsunami di Acheh dan gempa bumi di Pakistan namun hampir ke semua infrastruktur dan rumah penduduk di wilayah berkenaan musnah dilanda taufan Sidr.

"Setakat ini lebih 600,000 mangsa hilang tempat penginapan manakala lebih 10,000 menjadi mangsa korban. Malah pasukan kita perlu mengambil masa lebih dari 9 jam untuk sampai ke wilayah terbabit termasuk dua jam untuk menyeberangi sungai. Ini disebabkan keadaan infrastruktur dan jalan raya di sana yang teruk terjejas", katanya.

Pasukan bantuan AMAN Malaysia ini akan terdiri daripada dua orang doktor, empat orang pembantu perubatan dan selebihnya sukarelawan. Hospital Daerah Sharamkula akan dijadikan pusat bantuan Aman Malaysia selain memberikan bantuan perubatan di kawasan pemindahan bencana taufan Sidr.

"Kita telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak hospital, tentera dan media di sana setakat ini. Walaupun terdapat beberapa pasukan bantuan dari pelbagai negara di sana namun pasukan Aman Malaysia akan memberi tumpuan dari sudut bantuan perubatan", ujarnya.

Tambahnya, setakat ini difahamkan belum ada lagi penyakit berjangkit atau wabak yang melanda kawasan berkenaan. Setakat ini hanya penyakit yang berkaitan dengan ‘water borne disease’ dan juga penyakit-penyakit biasa yang dihadapi mangsa taufan.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa & NGO, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia seterusnya berkata misi bantuan kemanusiaan AMAN Malaysia akan meneruskan bantuan di sana selama dua hingga tiga bulan bergantung kepada keadaan.

"Selepas ini ada dua lagi pasukan bantuan kita yang akan menyusul", ujar beliau.

Mengenai kos keseluruhan misi bantuan terbabit beliau berkata secara keseluruhannya ia berjumlah RM200,000.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment