Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin berkata, jika siasatan mendapati ancaman ini benar, Kerajaan perlu menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk melindungi rakyat dan negara.
Tindak tanduk Hindraf begitu jelas dan nyata kepada rakyat apabila memorandum mereka yang berbaur perkauman turut memuatkan elemen-elemen pengganas selain temuramah mereka dengan media Singapura serta demonstrasi jalanan anjuran mereka.
Kita tidak boleh membiarkan segelintir rakyat bertindak dan melakukan kerosakan hingga sewenang-wenangnya memporak-perandakan negara, menggugat perpaduan serta keharmonian rakyat berbilang kaum. Pihak berkuasa perlu bertindak pantas membendung penularan hasutan jahat, unsur kebencian dan pecah-belah yang kini disebar sama ada menerusi SMS, internet atau demonstrasi jalanan.
Kerajaan memikul tanggungjawab besar untuk menjamin keselamatan rakyat dan negara. Tindakan tegas, khususnya tahanan ISA, wajar diambil segera untuk menyekat sebarang anasir yang mengganggu gugat ketenteraman rakyat sebagai amaran keras kepada mereka ini.
Hindraf yang sama sekali tidak mewakili suara kaum India di negara ini ternyata cuba bermain api apabila membangkitkan perkara-perkara dusta dan ekstrem dengan tujuan untuk memporak-perandakan negara dan membangkitkan kemarahan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Jelas sekali apa yang berlaku hari ini adalah sama dengan peristiwa siri demonstrasi jalanan 1998 yang dipimpin oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa itu rakyat telah nyata menolak tindakan tersebut kerana bertentangan dengan kedaulatan undang-undang, ganas dan merugikan rakyat. Kejadian terbaru berhubung Hindraf juga telah membuktikan rakyat menolak tindakan ganas jalanan.
Niat Anwar pada waktu dulu dan sekarang hanyalah satu iaitu untuk menjadi perdana menteri, beliau tidak peduli apa kesannya kepada negara dan rakyat. Cita-cita utamanya hanyalah untuk mencapai impiannya yang belum tercapai, walaupun dengan mempertaruhkan perpaduan dan ketenteraman awam, dia tergamak untuk mengheret dan memalukan Malaysia di mata masyarakat dunia.
Saya yakin rakyat bijak menilai tohmahan tidak bertanggungjawab mereka ini dan tidak sanggup melalui peristiwa 1998 yang ternyata menyusahkan rakyat, mencemarkan imej negara dan meragut keharmonian kaum yang selama ini begitu utuh di kalangan semua kaum.
Anwar sendiri tidak pernah memperjuang hak kaum India walaupun ketika dia di dalam Kerajaan dan dia juga tidak berbuat demikian sekarang. Ini terbukti apabila ramai daripada kalangan ahli Parti Keadilan yang terdiri daripada kaum India telah bertindak keluar parti, termasuk kawan baiknya, Dato’ Nallakarupan.
Rakyat sedar bahawa Anwar hanya pandai memanipulasi sesuatu keadaan atau sesuatu pihak, dan beliau sering mengubah pendiriannya untuk mengambil kesempatan ke atas apa yang berlaku.


0 Komen
Post a Comment