UMNO MUSUH HINDRAF- Hindraf Mula Bermain Politik Sempit, Bukannya Perjuangan Kaum India Jadi Agendanya

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ingin menyatakan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan pemimpin HINDRAF yang secara terang-terangan menyatakan UMNO sebagai musuh gerakan itu. Semenjak dari awal, HINDRAF cuba membenihkan perasaan benci rakyat dengan menggunakan garis perkauman dan agama sebagai landasan perjuangan. Kali ini, cubaan untuk memberikan fokus kebencian kepada UMNO adalah amat dikesali dan wajar dikutuk.

Presiden GPMS, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, sebagai sebuah parti yang mendokong konsep kerjasama, musyawarah dan integrasi antara kaum – UMNO yang sekian lama menjadi teras kepada kerjasama antara kaum di Malaysia TIDAK WAJAR dikeji sebegitu rupa. Walaupun sedar pendapat HINDRAF tidak menggambarkan pandangan kaum India di Malaysia, pembenihan rasa kebencian sebegitu rupa adalah amat dikesali. Kepada GPMS, UMNO tidak punya dosa kepada mana-mana kaum yang telah dibangunkan sebagai sebuah negara Malaysia untuk hampir 50 tahun ini. Tidak wajar sama sekali, mana-mana pihak mempertikai kewibawaan dan kemampuan UMNO mengangkat Malaysia ke tahapnya yang ada sekarang.

HINDRAF jangan cuba bermain politik sempit dengan melibatkan UMNO dalam tindakan bodoh dan ekstrim mereka. Cubaan untuk memfokuskan kebencian mereka kepada UMNO seakan memberikan petanda bahawa ada bau politik di dalam apa yang diperjuangkan oleh HINDRAF. Rakyat, terutamanya kaum India jangan sesekali terbawa-bawa dengan strategi terdesak HINDRAF ini.

Kepada GPMS, minda HINDRAF cukup terjajah dan terlalu disematkan dengan rasa benci. Sebagai antara NGO yang lahir dari perjuangan UMNO, GPMS tidak rela membiarkan UMNO diangkat sebagai medium kebencian terdesak manusia seperti P Uhtayakumar. HINDRAF itu sendiri wajar ditolak sama sekali dan dibenci oleh semua kaum yang mahukan kedamaian dan kemakmuran di Malaysia.

Sejajar dengan itu, GPMS mencadangkan kepada pihak Kerajaan agar mengambil tindakan tegas dengan kadar segera kepada HINDRAF dan aktivisnya. Kita tidak mahu pembenihan rasa benci, syak wasangka, rasa tidak selamat dan hak majoriti rakyat terus menjadi kaedah gerakan mana-mana pertubuhan dan persatuan. Sewajarnyalah, tindakan tegas diambil segera bagi memastikan gerakan HINDRAF dapat dipatahkan sama sekali dalam masa terdekat ini.

P Uthayakumar perlu sedar bahawa kenyataanya itu akan membangkitkan rasa marah dan kurang senang di kalangan orang Melayu. Kejayaan pilihanraya umum yang lalu – khususnya peningkatan sokongan kepada UMNO oleh pengundi Melayu wajar dijadikan kayu ukur bahawa orang Melayu masih percaya dengan perjuangan UMNO. Jangan sesekali beranggapan, dengan menyatakan bahawa mereka memusuhi UMNO dan bukan orang Melayu secara keseluruhannya, HINDRAF dapat berselindung dengan kenyataan cetek, bodoh dan tidak bertanggungjawab itu. Calar kepada UMNO adalah juga luka kepada orang Melayu; dan HINDRAF jangan cuba mempolitikkan kenyataannya itu.

GPMS ingin mencabar HINDRAF untuk memasuki arus perdana politik bagi membuktikan samada pandangannya itu diterima majoriti rakyat. HINDRAF boleh memilih mana-mana parti pembangkang untuk menjadi asas faham politiknya. Dengan pilihan itu, maka akan lebih jelaslah siapa sebenarnya berada di belakang HINDRAF selama ini!

GPMS sekali lagi ingin menyatakan pendirian kukuh di sebalik PERNYATAAN DAMAI MALAYSIA yang dibuat di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Bharu – tempohari. Kepada kita, demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram MESTI ditolak sama sekali. Tidak ada pihak yang wajar merasakan mereka berada di atas peruntukan undang-undang. Hak asasi mesti difahami dalam konteksnya yang lebih luas; dan demonstrasi jalanan adalah cabang kecil kepada keseluruhan pemahaman dan pelaksanaan hak asasi. Kesemua perkara, mesti sentiasa disulami dengan perasaan tanggungjawab dan akauntabiliti.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

  1. Saya ingin menyatakan 2 komen terhadap kenyataan GPMS seperti berikut. Pertama kenyataan GPMS berbunyi "UMNO tidak punya dosa kepada mana-mana kaum yang telah dibangunkan sebagai sebuah negara Malaysia untuk hampir 50 tahun ini. Tidak wajar sama sekali, mana-mana pihak mempertikai kewibawaan dan kemampuan UMNO mengangkat Malaysia ke tahapnya yang ada sekarang". Bagaimana GPMS tahu UMNO langsung tidak ada dosa. Maksum sangatkah UMNO itu langsung tiada dosa dan tidak boleh lansung mempertikaikan kewibawaan UMNO. Kedua kenyataan GPMS berbunyi "Tidak ada pihak yang wajar merasakan mereka berada di atas peruntukan undang-undang". Bagaimanakah pula tindakan UMNO terhadap rakyat yang kononnya dibuat di atas peruntukan undang-undang. Adakah UMNO sahaja yang berhak merasakan mereka berada di atas peruntukan undang-undang apabila melakukan kezaliman terhadap rakyat dan rakyat dinafikan untuk bersuara dan meluahkan perasaan tidak puas hati mereka. Adakah ini dinamakan demokrasi. Bagaimanakah dengan peruntukan perlembagaan yang membenarkan rakyat berkumpul secara aman. Mengapa UMNO merogol perlembagaan tersebut.

Post a Comment