Pemuda UMNO akan menggunakan rantaiannya di akar umbi dalam usaha membantu pihak berkuasa mengesan adik Sharlinie Mohd. Nashar, 5 yang hilang di Taman Medan Selasa lalu.Untuk itu, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan adik Sharlinie serta suspek seperti yang diedarkan oleh pihak berkuasa, mereka boleh menghubung pejabat Biro Pengaduan Awam Pemuda UMNO di talian 03-40441199 atau 019-3255886 ( En Zaini).
Pengerusi Biro Pengaduan Awam, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Subahan Kamal berkata rantaian pergerakan itu yang ada di seluruh negara dilihat satu mekanisme terbaik untuk membantu pihak berkuasa mengesan adik Sharlinie.
"Kita mintalah jasa baik ahli-ahli kita termasuk orang ramai untuk sama-sama membantu mengesan adik Sharlinie agar ianya dapat dijumpai dengan selamat. Sebagai rakyat Malaysia dan juga ibu bapa yang mempunyai anak, kita pastinya cukup tersentuh dengan apa yang menimpa keluarga Sharlinie. Sama-samalah kita berikhtiar dan berdoa agar adik Sharlinie dijumpai dalam tempoh terdekat".
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi Selasa lalu, Sharlinie dan kakaknya Sharliena, 8, yang dalam perjalanan pulang dari bermain di taman permainan berdekatan rumahnya di Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, hilang ‘dalam sekelip mata’.
Lokasi kali terakhir Sharlinie dilihat kakaknya ialah kira-kira 150 meter dari rumah mereka iaitu di persimpangan lorong ke taman permainan itu dengan di kiri kanannya adalah rumah teres. Sebelum Sharlinie yang berjalan kaki ‘hilang sekelip mata’, kakaknya yang menunggang basikal kira-kira lima meter di belakangnya, menoleh ke belakang kerana terdengar bunyi orang berjalan kaki.
Selepas ternampak kelibat seseorang di belakangnya, Sharliena beberapa saat kemudian menoleh semua ke depan dan mendapati adiknya itu telah hilang. Dia pantas mengayuh basikal ke rumah datuknya berhampiran rumah mereka untuk bertanya sama ada Sharlinie sudah tiba di rumah tetapi akhirnya keluarga tersebut menyedari kanak-kanak itu telah hilang.


0 Komen
Post a Comment