MEMORANDUM PEMUDA UMNO KEPADA KEDUTAAN INDONESIA BERHUBUNG ISU 'Sweeping Malaysia'

Ketegangan dalam hubungan antara Malaysia dan Indonesia kini menempuh paras yang membimbangkan sejak beberapa bulan lepas berikutan beberapa isu sensitif yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak bermula dengan kes rumahtangga Manohara, isu wilayah Ambalat, Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan kini kontroversi tarian pendet yang telah disilap siar oleh pihak Discovery Channel. Dua wadah yang digunakan untuk mengeruhkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Jakarta merangkumi serangan fizikal melalui demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, pembakaran Jalur Gemilang oleh mahasiswa Indonesia dan terbaru adalah gerakan memberhentikan kenderaan di jalan raya untuk menakutkan rakyat Malaysia di Jakarta. Selain fizikal, serangan siber turut dilancarkan melalui operasi laman-laman web anti-Malaysia.

Pelbagai usaha telah diambil oleh pihak tertinggi kedua negara dalam membendung krisis hubungan dua hala ini termasuk inisiatif pihak Discovery Channel yang memohon maaf atas salah faham isu tarian pendet disamping penjelasan pimpinan tertinggi Malaysia mengesahkan ketidakterlibatan dalam isu ini, namun bahang perselisihan masih dirasai terutama di kalangan warga Indonesia.

Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) yang konsisten dalam usaha memastikan 'hubungan istimewa' kedua buah negara kekal baik, memandang serius keretakan kini dan menganjurkan memorandum ini diambil serius khususnya oleh warga Indonesia.

PPUM meminta, menggesa dan mendesak:

1.) TINDAKAN TEGAS KERAJAAN INDONESIA
Kerajaan Indonesia perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam usaha berterusan mengeruhkan perselisihan antara kedua buah negara sama ada dalam serangan fizikal atau siber. Pihak pemerintah perlu bertindak telus dan efektif dalam meredakan bahang perselisishan dan membenteras provokasi anasir-anasir tertentu.


2.) PIHAK MEDIA YANG BERTANGGUNGJAWAB
Pihak media Indonesia perlu berhenti 'mensensasikan' isu-isu yang boleh mengeruhkan hubungan Malaysia-Indonesia dan melaporkan isu-isu ini secara objektif. Pihak media perlu lebih bertanggungjawab dan digesa berhenti memprovokasi emosi dan pemikiran warga Indonesia dan memburukkan imej rakyat Malaysia.

3.) PERBINCANGAN INTELEKTUAL DAN RASIONAL
Pemimpin dari kedua-dua buah negara perlu memahami titik persefahaman kedua buah negara dan menyelami punca perselisihan secara intelektual; berpandu pada tuntutan rasional dan bukan emosi. Penghayatan intelektual perlu diamati dalam memahami sebarang pokok permasalahan. PPUM menggesa peningkatan perbincangan dua hala melalui forum dan dialog terbuka bukan sahaja di peringkat tertinggi dan badan diplomatik, tetapi juga melalui pemimpin masyarakat dalam parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), golongan bisnis, tokoh intelektual, gerakan mahasiswa dan juga personaliti terkemuka.

4.) MEMPERKASA 'HUBUNGAN ISTIMEWA'
Hubungan istimewa kedua-dua buah negara yang terjalin sejak sekian lama berasaskan perkongsian asal budaya dan tamadun perlu diperkasakan dalam menempuh arus globalisasi kerana peranan penting yang dimainkan Malaysia dan Indonesia dalam memacu kemakmuran sosial, politik dan ekonomi serantau. Hubungan ini perlu dipertingkat bukan sahaja dalam kemajuan ekonomi, tetapi dalam meningkatkan kemajuan sosial dan penghayatan budaya. Persefahaman perlu dipupuk agar hubungan istimewa dua hala dapat dipertingkat bagi menjamin kesejahteraan warga kedua buah negara dan memastikan ASEAN terus melangkah maju ke hadapan.

5.) KERJASAMA SEMUA PIHAK
PPUM sebulat suara dengan semangat yang jitu mendesak semua pihak bekerjasama bagi memastikan kesepakatan hubungan Malaysia dan Indonesia terus kekal bagi menjamin kesejahteraan bangsa kedua buah negara. Ruang harus diberikan agar perselisihan ini beransur pulih dan hubungan dua hala kembali normal.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

  1. Peristiwa ini adalah antara kebodohan akhir zaman yang paling ‘outstanding’ buat masa ini. dua negara yang majoriti islam bergaduh dan nak berbunuh sebab tarian berkemban yang mendedahkan aurat. Entah dimana hadis dan Quran yang menghalalkan darah dan caci maki semata-mata kerana berebutkan tarian. Last-last internet penuh dengan maki hamun antara warga online dari kedua negara menghamun satu sama lain di 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Bagi saya semua yang lupa adat dalam internet dan mengapi-apikan permusuhan itu adalah samada kafir menyamar, yahudi menyamar atau islam munafik.

Post a Comment