MANA PERGI BUDI BAHASA RUMPUN YANG SAMA?



Bergerak secara aman, dengan sekumpulan sahabat Pemuda UMNO membawa kain rentang bertulis ‘Mana Pergi Budi Bahasa Rumpun Yang Sama’ dan `Jalur Gemilang Maruah Kami’.

Kumpulan yang diketuai Pengerusi Hubungan Antarabangsa Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Ahmad Zaki Zahid membawa misi keamanan dengan menghantar memorandum bantahan berikutan tindakan sekumpulan 50 anggota Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) bersenjatakan buluh runcing membuat sekatan di Jalan Diponegoro untuk mengancam rakyat Malaysia kerana tidak berpuas hati berhubung isu tarian Pendet, Selasa lalu.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Penasihat Menteri Bahagian Penerangan, Sosial dan Budaya Indonesia, Widaryarka Ryananta.

Berhubung kandungan memorandum itu, Ahmad Zaki berkata, pihaknya telah menggariskan lima perkara untuk perhatian pihak Kedutaan Indonesia.

"Pertama, kita menggesa kerajaan Indonesia mengambil tindakan terhadap anasir-anasir tertentu yang cuba mengeruhkan hubungan Malaysia-Indonesia. Kedua, kita mohon pihak media Indonesia agar lebih bertanggungjawab dan tidak mensensasikan isu kecil sehingga menjadi besar," katanya.

Ahmad Zaki menambah, bagi perkara ketiga, Pemuda UMNO meminta golongan pemimpin, mahasiswa dan diplomat kedua-dua buah negara itu mengadakan perbincangan dua hala bagi kebaikan bersama. Katanya, perbincangan dua hala itu boleh diadakan dalam bentuk forum dan dialog terbuka.

"Ini adalah bagi memahami titik persefahaman kedua-dua buah negara dan menyelami punca perselisihan secara intelektual, berpandu pada tuntutan rasional dan bukan emosi," katanya.

"Keempat, Pemuda UMNO meminta hubungan istimewa kedua-dua buah negara diperkasakan dalam menempuh arus globasasi kerana peranan penting masing-masing dalam memacu kemakmuran dan ekonomi serantau.

"Kelima Pemuda UMNO mendesak semua pihak bekerjasama dalam memastikan kesepakatan hubungan Malaysia-Indonesia bagi menjamin kesejahteraan bangsa kedua-dua negara," kata Ahmad Zaki.

Punca ketegangan terbaru ini ialah tuduhan kononnya Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali untuk promosi pelancongannya yang disiarkan di saluran Discovery Channel. Saluran itu bagaimanapun telah mengaku ia merupakan satu kesilapan di pihak mereka dan bukannya kesalahan kerajaan Malaysia. Namun, tuduhan ini terbukti tidak benar kerana klip video promosi itu dibuat oleh syarikat swasta berpejabat di Singapura yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan Malaysia.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment