Pemuda BN Kecam Serangan Ke Atas Surau di Muar- KJ

Pemuda BN mengecam serangan ke atas dua surau di Muar, Johor awal pagi hari ini. Sepertimana kes-kes serangan ke atas gereja dan kuil sebelum ini, insiden terbaru ini adalah satu tindakan yang biadap dan tidak bertanggungjawab kerana boleh menggugat keamanan negara dan keharmonian antara kaum yang sudah puas diuji beberapa minggu kebelakangan ini.

Pengerusi Pemuda BN, YB Khairy Jamaluddin berkata, setelah berbelas rumah ibadat diserang, Pemuda BN cukup khuatir bahawa apa yang berlaku kepada dua surau ini akan menyebabkan senario bertambah lebih tegang.

“Dalam pada kita semua mengutuk serangan tersebut, Pemuda BN menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk tenang dan tidak terbawa-bawa dengan emosi tinggi atau menyumbang kepada spekulasi dan khabar angin. Sebaliknya, Pemuda BN berharap bahawa rakyat memberi peluang dan kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lantas membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Disamping itu, Pemuda BN juga mengambil maklum sensitiviti, perasaan serta kekhuatiran seluruh rakyat Malaysia berbilang agama dan menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang cepat agar ketegangan yang sedang membayangi masyarakat majmuk kita dapat dileraikan.

Cukuplah dengan segala pembakaran, pemusnahan dan vandalisme ke atas rumah-rumah ibadat. Sudah tiba masanya kemelut ini, serta punca-puncanya, diselesaikan demi keselamatan dan keamanan negara.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment