Pemuda UMNO hari ini mahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat salah laku beberapa pemimpin pakatan pembangkang semasa pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
Siasatan ini perlu dilakukan berikutan terdapat dakwaan pemimpin pakatan pembangkang telah melakukan perbuatan tersebut sepanjang kempen pilihanraya berkenaan.
Justeru satu laporan kepada SPRM telah dibuat Pengerusi Unit Media Baru Pemuda UMNO Hulu Selangor, Mohd Jefrin Mat Tu di pejabat SPRM di sini, pagi tadi. Turut sama membuat laporan tersebut ialah Pengerusi Perkasa Hulu Selangor, Roslie Jamluddin, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Hulu Selangor, Zainuddin Mat Naan dan Pegawai Khas Pengerusi Perkasa Hulu Selangor, Syam Salleh Hamzah.
Mohd Jefrin dalam satu sidang media berkata, beliau membuat laporan itu selepas menerima sepucuk surat yang dihantar ke rumahnya Jumaat lepas yang mengandungi laporan termasuk gambar mengenai salah laku pemimpin pakatan pembangkang.
"Saya tidak pasti siapa yang hantar tetapi dalam laporan dua muka surat itu yang saya percaya pengundi di Hulu Selangor, telah senaraikan kira-kira 20 salah laku pemimpin terbabit.
"Saya percaya individu yang hantar laporan ini mahu saya masukkan dalam blog tetapi saya meminta SPRM supaya menyiasat kandungan laporan ini. Ia penting bagi menjamin ketelusan proses kempen dan pengundian dalam pilihan raya kecil baru-baru ini," katanya.
Laporan ini tegas beliau penting bagi menyiasat sama ada benar pemimpin pakatan pembangkang telah melakukan perkara itu seperti yang didakwa pengundi di Hulu Selangor.


0 Komen
Post a Comment