MUHYIDDIN GARIS 3 PENDEKATAN MANTAPKAN UMNO


Gelombang keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sedang menunjukkan keyakinan. Kemenangan calon BN dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini membuktikan bahawa UMNO dan BN kembali mendapat sokongan padu rakyat, khususnya orang Melayu.

Sehubungan dengan itu, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO yakin dengan komitmen dan istiqamah kita untuk sentiasa mendekati rakyat dan membela nasib mereka, UMNO dan BN akan terus meraih dokongan dan sokongan rakyat.

“Walau bagaimanapun, kita tidak boleh sekadar berpeluk tubuh dan terlalu yakin dengan pencapaian parti setakat ini tanpa melipatgandakan usaha memperkukuhkan lagi UMNO. Dalam konteks UMNO Bahagian Pagoh dan kepimpinan di peringkat cawangan, tumpuan perlu terus diberikan kepada usaha untuk menarik sokongan rakyat kepada UMNO,” ujarnya dalam ucapan perasmian Serentak Mesyuarat UMNO dan sayap-sayap bagi UMNO Cawangan dalam bahagian Pagoh yang dibacakan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian, YB Tuan Haji Tahir.

Sehubungan dengan itu, Muhyiddin mengariskan 3 perkara yang menjadi penunjuk utama prestasi parti dengan meletakkan usaha berterusan dengan lebih gigih untuk menambah keahlian baru, dengan mengambil peluang gelombang keyakinan rakyat kepada UMNO, untuk menarik sokongan lebih ramai orang Melayu, terutamanya di kalangan generasi muda.

Kesanggupan UMNO untuk meminda perlembagaan parti dengan mempermudahkan proses kemasukan ahli-ahli baru mesti dilihat sebagai keterbukaan UMNO untuk menyambut warga baru UMNO dengan dada yang lapang demi memperkukuhkan barisan pewaris perjuangan parti di masa hadapan.

“Amalkan sikap terbka dalam menerima ahli-ahli baru, termasuklah dari kalangan ahli-ahli parti pembangkang yang semakin menunjukkan minat untuk menyertai UMNO kerena mereka tidak lagi yakin dengan perjuangan parti pembangkang. Berkat keikhlasan dan kesungguhan kita untuk terus menggalas perjuangan membela nasib rakyat, bukan menjaga kepentingan individu tertentu, mereka bertambah yakin bahawa UMNO berada di landasan perjuangan yang sebenar,”.

Muhyiddin juga meletakkan usaha mempergiatkan pendaftaran ahli UMNO dan orang Melayu sebagai pemilih kerana sebagai sebuah parti yang mewakili orang Melayu, UMNO mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan orang Melayu tidak tercicir dari proses demokrasi ini.

Ini memandangkan hanya 75% sahaja orang Melayu yang layak mengundi telah mendaftar sebagai pemilih sedang 25% lagi tidak dapat melaksanakan hak mereka sebagai pengundi dan menentukan siapa yang layak memimpin mereka.

“Oleh itu, kita perlu segera menggerakkan jentera parti untuk memastikan mereka yang telah layak mengundi, terutamanya di kalangan ahli-ahli UMNO, segera mendaftar sebagai pemilih. Kita perlu ingat bahawa tiada ertinya UMNO mempunyai keahlian yang ramai, jika mereka tidak boleh membantu kemenangan parti dalam pilihanraya,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, UMNO harus menjalin hubungan yang lebih akrab dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti kompenan BN di peringkat akar umbi dalam melaksanakan aktiviti parti dan member khidmat kepada masyarakat pelbagai kaum. Pendekatan inklusif ini pastinya akan disenangi oleh masyarakat pelbagai kaum dan ini tentunya akan dapat menambahkan lagi sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional.

“Cabaran besar yang kita hadapi untuk memastikan UMNO terus menjadi wadah perjuangan bangsa yang ampuh bergantung kepada keutuhan parti. Jika parti kita bertambah utuh dan kuat, maka mudahlah untuk kita meneruskan perjuangan ini.

Tetapi sekiranya parti kita lemah, maka sukarlah bagi kita untuk membela nasib agama dan bangsa kita. Kelemahan dan kekuatan UMNO terletak pada ahli-ahlinya. Sekiranya setiap ahli bersatu hati dan membulatkan tekad untuk menggalas perjuangan suci ini, saya yakin UMNO akan terus berdiri megah sebagai parti yang menjadi wadah utama perjuangan membela agama, bangsa dan Negara”.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment