Melayu, Muslimin Tiada Pilihan Selain Perpaduan

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Itulah perumpamaan yang paling sesuai untuk dikaitkan dengan usaha penyatuan dan perpaduan antara UMNO dan Pas yang sedang menjadi perbincangan hangat masyarakat sejak akhir-akhir ini.

Keadaan semasa pula dilihat oleh anak-anak muda sebagai semakin mendesak dan menuntut perpaduan, semakin lama diabaikan, semakin terlambat dan semakin kritikal masa depan umat Islam.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Azman Ruslan berkata, sebarang kemungkinan berlakunya perpecahan orang-orang Melayu di Semenanjung, boleh memberi kesan negatif bukan sahaja kepada bangsa Melayu itu sendiri, terutama sekali di Semenanjung, tetapi boleh memberi kesan buruk kepada perpaduan masyarakat Melayu dan Bumiputera Islam di negara ini keseluruhanya.

“Dari perspektif Sabah, UMNO dan Pas itu bukanlah ‘parti politik’ semata-mata tetapi UMNO dan Pas itu adalah perkumpulan orang Melayu dan Islam.

Justeru, perpecahan orang-orang Melayu di Semenanjung, tidak boleh dilihat atau dianggap sebagai masalah orang-orang Melayu di Semenanjung semata-mata, kerana ia sebenarnya boleh mengancam, malah melemahkan perpaduan masyarakat Bumiputera di Sabah, terutama sekali yang beragama Islam,” ujarnya mengulas isu perpaduan UMNO dan Pas ini.

Oleh kerana itu, dalam apa jua situasi, Sabah tidak boleh melihat masalah perpecahan orang-orang Melayu/Islam di Semenanjung sebagai kes terpinggir, atau hanya berkisar sebagai masalah orang-orang Melayu di tanah besar Semenanjung sahaja, kerana masalah itu boleh melemahkan kedudukan dan dominan Melayu dan Bumiputera Islam secara keseluruhannya dari segi kuasa politik dan pentadbiran negara.

“Antara gejala yang dilihat ‘membantu’ kepada perpecahan masyarakat Melayu/Islam, ialah kewujudan aliran-aliran pemikiran baru yang semakin berani dan lantang mempersoalkan kedudukan dan ‘keistimewaan’ orang-orang Melayu, walaupun mereka sebenarnya faham perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Kita juga melihat bagaimana aliran pemikiran baru itu cuba mengasak dan mempersoalkan kedudukan dan institusi Raja-Raja Melayu. Kerapuhan perpaduan masyarakat Melayu/Islam sudah tentu akan memudahkan lagi agenda golongan aliran pemikiran baru itu untuk, pertama, melemahkan kedudukan dan institusi Raja-raja Melayu; kedua, menjahanamkan perpaduan Melayu dan Bumiputera Islam dan ketiga melenyapkan kuasa entiti orang Melayu/Bumiputera Islam di Malaysia,” katanya kepada umno-online.

Sehubungan dengan itu, masyarakat Melayu dan Bumiputera Islam Malaysia tiada pilihan selain kembali bersatu dan empat individu besar yang sangat penting untuk jayakan perundingan perpaduan itu iaitu di pihak UMNO ialah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan di dalam Pas ialah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Guru Abdul Hadi Awang.

“Saya percaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini menunggu-nunggu saja perpaduan ini menjadi kenyataan. Ini perlu disegerakan atas nama Islam tanpa syarat, masih ada harapan ke arah perpaduan yang menjadi kunci kekuatan Negara selama ini, BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH” ujarnya dengan harapan agar penyatuan dan perpaduan UMNO dan Pas ini menjadi kenyataan. -MediaUMNO

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment