SIPITANG: Umat Islam disaran agar menjadikan Ramadan sebagai landasan ke arah memperkukuh dan mempertingkatkan persefahaman serta kerjasama yang sedia ada.
Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berkata pertelagahan dan perselisihan berpanjangan hanya merugikan umat Islam.
“Tiada keuntungan yang diperolehi oleh umat Islam jika memilih untuk terus bertelagah dan berselisih…tiada keuntungan sebaliknya hanya merugikan,” katanya pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau bagi Dun Sindumin Parlimen Sipitang di Pejabat Kemas di sini kelmarin.
Menurutnya pertelagahan dan perselisihan berpanjangan itu juga member kesan kepada generasi muda Islam sendiri.
Katanya kesan itu pula bukan mudah untuk diperbaiki apabila ianya menjadi parah dan yang akan turut menanggung ialah generasi muda Islam.
Beliau memberitahu umat Islam pada ketika ini berdepan dengan pelbagai cabaran getir yang memerlukan persefahaman serta kerjasama yang ada diperkukuh dan dipertingkatkan.
“Kita akan menjadi umat yang ketinggalan, mudah dipergunakan dan juga mundur…jika ini berlaku bukan mudah untuk kita kembali bangun dan memajukan diri,” katanya dan menambah musuh Islam sentiasa berusaha memecahbelahkan umat Islam menerusi pelbagai cara.
Menurutnya ia termasuklah memastikan umat Islam terus bertelagah dan berselisih sesama sendiri.
Sapawi turut menggesa umat Islam untuk menjadikan Ramadan sebagai landasan bagi menilai pencapaian masing-masing.
Katanya ia termasuklah menghapuskan sikap boros apabila berbelanja terutamanya ketika hendak menyambut musim perayaan.
“Sikap boros merupakan salah satu kelemahan di kalangan umat Islam dan ini tidak harus diamalkan,” katanya lagi.
Pada majlis itu sebanyak 10 buah masjid dan 25 surau dalam Parlimen Sipitang menerima sumbangan bagi mengendalikan aktiviti masing-masing sepanjang bulan Ramadan.


0 Komen
Post a Comment