
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas anggota pembangkang yang bersikap ibarat komunis moden dengan hasrat untuk menghancurkan negara biarpun selama ini turut menikmati kesejahteraan hasil pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Katanya, setiap warga Malaysia seharusnya tahu menghargai nilai yang telah dikecapi biarpun berada dalam fahaman politik berbeza dan tidak terlibat dengan agenda politik melampau yang boleh membahayakan keselamatan negara.
“Kita mahukan rakyat yang ada rasa cinta dan sayang pada negara, sama-sama menyemai keamanan dengan semangat nasionalisme apatah lagi menjelangnya kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini,” tegas beliau kepada UMNO-online.com.
Katanya, tindakan seperti mempolitikkan institusi Diraja, mewujudkan satu lagi perlembagaan baru, mempertikaikan hak keistimewaan Melayu, menggunakan masjid dan surau sebagai tempat ceramah adalah antara perkara-perkara yang tidak sewajarnya berlaku dan menunjukkan kedangkalan berpolitik tanpa kematangan pakatan pembangkang.
“Lebih teruk lagi apabila ada pemimpin pembangkang berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengundang kepada keselamatan negara iaitu memberikan maklumat-maklumat palsu kepada pihak luar hanya untuk kepentingan politik,” bidasnya lagi.
Bagi beliau, prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara yang menjadi teras gagal difahami oleh pemimpin sedemikian sedangkan ia adalah teras yang membawa kepada kemajuan hingga Malaysia dapat berdiri teguh seperti hari ini.
“Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh pakatan pembangkang membuktikan bahawa ketidakmatangan hingga sanggup melanggar batasan dan landasan yang ada asal saja matlamat mereka untuk mendapat kuasa tercapai,” tegas beliau.
Ujarnya lagi, masyarakat hari ini bijak untuk menilai mana yang benar dan mana yang palsu lantas tentunya tahu membezakan antara parti mana yang benar-benar mahukan kemajuan, kesejahteraan dan perpaduan di kalangan masyarakat berterusan.
“Perlu diingat bahawa perpaduan adalah agenda negara dan bukan hanya matlamat terpencil untuk tujuan bagi memenangi pilihan raya seperti mana yang dibuat oleh pakatan pembangkang sebaliknya langkah kerajaan untuk menjayakan perpaduan di kalangan keseluruhan rakyat adalah satu matlamat berterusan dan meyokong setiap agenda yang memberikan kepentingan bersama,” katanya.
Di dalam hal ini, beliau turut menegaskan bahawa kerjasama dalam parti kompenan BN adalah bukti bahawa perpaduan sentiasa menjadi perkara teratas hinggakan tidak membataskan perbezaan agama, bangsa dan kedudukan asal sahaja kepentingan negara dan rakyat keseluruhan terpelihara.
Tegas beliau lagi, UMNO dan BN bukanlah parti yang baru setahun jagung menjadi pentadbir sebaliknya telah melaksanakan impian seluruh rakyat Malaysia dalam menerajui gagasan bersama selama 53 tahun.
“Kita perlu jadikan pelbagai peristiwa yang melanda negeri-negeri di bawah tadbiran pembangkang sebagai satu iktibar bagaimana janji-janji yang dilafazkan sebelum pilihan raya umum lalu gagal ditunaikan sebaliknya rakyat pula menjadi mangsa akibat kerakusan mereka mengaut keuntungan daripada pangkat dan kedudukan yang ada,” ujar beliau lagi. -Ropikah/MediaUMNO


0 Komen
Post a Comment