
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan pakatan pembangkang tidak kira sama ada PKR, dan Dap saling memperalatkan Pas yang kononnya memperjuangkan Islam demi kepentingan politik masing-masing.
Jelasnya, kepalsuan pakatan itu akhirnya pecah tembelang dengan pelbagai putar belit ajaran Islam, ayat al-Quran, as-Sunnah, sejarah dan fakta, termasuk kisah teladan Khalifah Umar Abdul Aziz, Sambutan Maulidur Rasul dan terbaru, doa kesejahteraan untuk Lim Guan Eng di dalam Khutbah Jumaat.
Katanya, ketiga-tiga parti tersebut tidak mempunyai matlamat yang sama kecuali untuk mendapatkan kuasa dan saling memperalat untuk kepentingan masing-masing.
“Mereka sedar bahawa Pas adalah parti yang ditubuhkan kerana kecewa selepas Tuan Haji Ahmad Fuad gagal merebut jawatan Yang Dipertua UMNO dengan Tunku Abdul Rahman memenanginya pada tahun 1951,” kata beliau kepada UMNO-online.com, hari ini.
Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika mengulas berkaitan kenyataan Dap yang menolak pelaksanaan hukum hudud sebagaimana dicadangkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
“Saya percaya bahawa Dap akan cakap lain, Pas akan cakap lain dan PKR akan cakap lain mengikut agenda politik masing-masing tetapi matlamat mereka adalah untuk mencari kuasa. Justeru, mereka akan halalkan apa sahaja cara untuk mendapat apa dikehendaki,” tegasnya.
Selaras dengan itu, beliau menggesa orang Melayu, golongan Bumiputera yang beragama Islam dan masyarakat keseluruhannya agar tidak terpesong dengan taktik dan propaganda pembangkang.
“Saya berkeyakinan bahawa rakyat sudah pun mulai sedar atas apa yang berlaku kerana UMNO dan BN sendiri telah tertipu oleh seorang individu yang mencerminkan kepimpinan Islam selama 11 tahun waktu dia bersama UMNO,” katanya.
Ujar beliau, dengan bertopengkan cara pembawaannya dan kepimpinan yang kononnya berteraskan Islam, individu terbabit yang kini menjadi Ketua Pembangkang telah diangkat sebagai pemimpin sedangkan semuanya dilakukan demi kerakusan untuk bergelar sebagai Perdana Menteri.
“Fikirlah sendiri, di mana matlamat sebenar perjuangan dan masa hadapan generasi akan datang sekiranya orang sedemikian diangkat sebagai pemimpin dan agama Islam hanya menjadi sebagai alat kosmetik semata-mata menutup pekung yang ada,” tegasnya lagi. – Ropikah Ahmad/MediaUMNO


0 Komen
Post a Comment