Ramai rakyat rasa tertipu dan terpedaya. Janji seribu janji kononnya hendak ditunaikan sebelum ‘ayam berkokok’.
Untuk menang Pilihan Raya Umum 2008, Pas dan pakatan pembangkang berjanji menutup kilang arak, tetapi terbaru mereka menawarkan tapak kilang arak yang lebih luas Pelabuhan Klang untuk memenuhi rancangan pembesaran kilang.
Demikian ditulis oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di dalam blog peribadinya mengenai rombongan rasminya bersama beberapa Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ke Kilang Carlsberg di Shah Alam, 5 Ogos lalu.
Sehubungan dengan itu, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Datuk Md Zin menyarankan kepada Pas Selangor agar mengotakan janji mereka yang sudah dihebahkan kepada rakyat.
“Cakap biar serupa bikin. Jangan sekadar berjanji, sebaliknya buktikan apa yang diperkatakan dilaksana seperti apa yang dikata.
“Inilah bukti `politik bohong’ yang diperjuangan Pas selama ini. Sebelum berkuasa cakap lain, bila dah berkuasa cakap lain. Adakah ini sebenarnya perjuangan Islam yang nak ditegakkan Pas selama ini,” katanya ketika diminta oleh UMNO-Online untuk mengulas itu terbaru itu.
Khalid di dalam tulisannya pada Jumaat 6 Ogos lalu bertajuk ‘Lawatan Kerja Ke Kilang Carlsberg’, antara lain mengisahkan, “Saya menyebut bahawa sekiranya tapak yang lebih luas diperlukan, maka kemungkinan satu tapak di pelabuhan Klang, memandangkan 100% bahan keperluan Malt diimpot dan 50% bahan keluaran diekspot, boleh diusahakan.”
Nawawi seterusnya mempersoalkan mengapa pula Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor (Khalid) itu sampai tergamak menggalakkan pembesaran kilang arak itu.
Katanya, alasan untuk menggantikan tapak kilang itu dengan terminal bas bersepadu tidak sewajarnya ditawar menawar dengan tapak yang lebih luas.
“Ke mana pendirian Pas? Mereka kata UMNO yang mengalakkan perkembangan arak di Malaysia. tetapi apa yang dicadangkan mereka ini membuktikan mereka bukan mahu menghapuskan budaya minum arak, malah mengalakkannya.
“Bukan itu sahaja, perkembangan rumah-rumah urut, pusat-pusat perjudian juga kini semakin berleluasa di Selangor sejak mereka memerintah,” ujarnya


0 Komen
Post a Comment