Pemimpin Akar Umbi Perlu Berubah Sama -Lajim

TENOM – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lajim Ukin menggesa supaya pemimpin parti di semua peringkat berubah dan sentiasa mendampingi rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, pemimpin pada hari ini tidak lagi boleh duduk selesa dan mendengar masalah rakyat dari jauh.

“Pemimpin perlu turun padang dan mendengar sendiri rintihan dan denyutan hati rakyat bahkan melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya semasa berucap merasmikan Program Juara Rakyat Tema Bulan Agensi Kerajaan di perkarangan Balai Masyarakat SABAKA Kg. Saga dekat sini, kelmarin.

Hadir sama di majlis itu, Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rubin Balang, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenom, Suhaili Guriaman, Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi, Exco Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, Ketua Puteri UMNO Tenom Inahwati Jaini, Naib Presiden PBRS, Datuk Kadoh Agundong, Penolong Pegawai Daerah Tenom, Clarance Puin Pinduru, Ketua Daerah Tenom, OKK David Jani.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Ahli Parlimen Beaufort berkata, rakyat pada hari ini bukan lagi seperti dulu yang tidak tahu menilai kemampuan pemimpin.

Rakyat pada hari ini, katanya, adalah bijak dan sudah tahu menilai siapakah pemimpin mereka kerana anak-anak mereka sudah berpendidikan tinggi.

Justeru, katanya, pemimpin masyarakat perlu sentiasa mendampingi dan bertemu rakyat untuk mendapatkan maklumat dan mengetahui masalah mereka.

Pada masa yang sama Lajim mengingatkan ahli-ahli UMNO dan ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) keseluruhannya supaya jangan terpengaruh dengan propaganda parti pembangkang khusus PKR yang membuat tuduhan-tuduhan liar dan fitnah kepada pemimpin-pemimpin BN.

Katanya, pemimpin pembangkang boleh cakap apa saja namun telatah mereka bagaikan mimpi disiang hari.

Malahan, katanya, mereka boleh berjanji memberikan bulan dan bintang tetapi apa yang mereka katakan adalah pembohongan kepada rakyat dan tidak mereka boleh tunaikan.

Tetapi, katanya, kerajaan BN terbukti telah membawa pembangunan kepada rakyat sejak ia berkuasa di negeri ini walaupun pembangkang menidakkan pembangunan yang diberikan oleh kerajaan BN kepada rakyat.

“Kita akui masih terdapat kampung-kampung terpencil di pedalaman Sabah belum dapat dibangunkan sepenuhnya tetapi kita yakin kampung-kampung berkenaan dapat dibangunkan jika BN terus berkuasa di negeri ini,” katanya.

Menyentuh sedikit mengenai Juara Rakyat, Lajim berkata, program itu turut memberi peluang kepada rakyat mendapatkan maklumat terkini tentang dasar-dasar kerajaan. -MediaUMNO

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment