RM80,000 Naik Taraf Masjid Kg Klias Baru -Lajim

BEAUFORT, 22 Ogos - Bagi penduduk di Kampung Klias Baru dan sekitarnya kedatangan Ramadan dan Syawal tahun ini disambut dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan kerana bakal mempunyai masjid baru.

Kegembiraan itu sangat terasa walau pun masjid itu hanya siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Mereka bakal menikmati kemanisan ibadah di dalam masjid di dalam keadaan yang lebih selesa, luas dan dilengkapi kemudahan asas.

Kegembiraan dan rasa syukur ini mereka terima apabila Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin mengumumkannya, pada majlis berbuka puasa di masjid kampung tersebut petang kelmarin.

Lajim mengumumkan kelulusan sebanyak RM80,000 ribu bagi kerja menaiktaraf Masjid Kampung Klias Baru yang akan dimulakan selepas sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menurut beliau, peruntukan tersebut selaras dengan usaha kerajaan bagi mempertingkatkan kemudahan asas setiap surau dan masjid di kawasan Parlimen Beaufort agar umat Islam lebih selesa untuk mengerjakan ibadah sembahyang serta lain lain aktiviti keagamaan di kawasan masing-masing.

“Selain beberapa projek pembinaan masjid baru yang telah kita laksanakan, kerja-kerja menaiktaraf surau dan masjid yang sedia ada juga akan kita laksanakan peringkat demi peringkat bagi memastikan Umat Islam setempat selesa mengerjakan ibadah “ katanya ketika ditemui di majlis tersebut

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort Isnin Haji Aliasnih, Bendahari UMNO Bahagian Zahari Mohd Zinin, Ketua Daerah Mengundi Klias Baru Ibrahim Salim dan Imam kariah Surau Klias Baru Haji Agau Eki

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort projek menaiktaraf Masjid Kampung Klias Baru membolehkan masyarakat Islam mengerjakan ibadah dengan lebih selesa.

Beliau turut berharap fungsi masjid tersebut perlu dipelbagaikan bukan sahaja sebagai rumah ibadah namun turut menjadi pusat kecemerlangan ilmu melalui pelbagai program yang dilaksanakan oleh jawatan kuasa surau berkenaan.

“Harapan saya bukan sahaja masyarakat Islam mengimarahkan masjid dan surau dalam program-program keagamaan namun ia perlu menjadi institusi kecemerlangan ilmu dan menjadi wadah penyatuan masyarakat Islam di kawasan ini di samping sentiasa memantau tahap kebersihannya,” katanya.

Terdahulu ketika berucap di majlis tersebut Ketua UMNO bahagian Beaufort itu berharap kedatangan Ramadan akan menjadi bulan tarbiah kepada umat Islam untuk mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S,W,T, kepada negara ini.

Katanya, wajarlah mereka bersyukur terhadap kesungguhan kerajaan Barisan Nasional mentabdir dan membawa kesejahteraan sosio ekonomi, politik dan keamanan negara.

“Amat berbeza dengan keadaan masyarakat Islam di lain-lain negara mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan mengerjakan ibadah puasa di dalam pelbagai situasi seperti peperangan, bencana alam dan sebagainya,” katanya

Sehubungan dengan itu beliau mahu umat Islam terus mengekalkan momentum perpaduan yang sedia terjalin dengan mengenepikan pelbagai sentiman yang boleh menjejaskan hubungan harmoni meskipun negara ini terdiri dari pelbagai kaum dan agama .

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment