KUALA LUMPUR, 7 Sept – Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin berkata ‘plot penyingkiran Tun Ghafar Baba’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berulang dalam kegawatan pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR.
Menerusi tulisan terbaru dalam laman blognya, Zulkifli berkata, beliau seperti tidak percaya membaca laporan media menyebut bahawa Ahli-Ahli Parlimen PKR membuat kenyataan memberikan sokongan penuh kepada Azmin Ali untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR bagi pemilihan tidak lama lagi.
Jelasnya beliau teringat peristiwa yang hampir sama berlaku pada tahun 1993 apabila semua Menteri Besar UMNO membuat kenyataan menyokong Anwar Ibrahim bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.
“Maka berkuburlah Pak Gafar Baba menangis tak berlagu!
“Hari ini skrip (plot) yang sama berulang. Bapak borek, anaknya rintik dong! Teman ingat nak kena baca balik buku ‘SHIT’ tulisan Datuk Shahnon Ahmad @ Pak Shahnon, Sasterawan Negara,” katanya.
Merujuk perkara yang sama Zulkifli menyimpulkan dengan bidalan orang Melayu, sudah terang bersuluh pula.
“Lagu sama, skrip sama..cuma watak dan pelakon sahaja yang berbeza. Teman ucapkan sayonara kepada Zaid Ibrahim, Khalid Ibrahim dan segala mereka yang berangan (berangan-angan) nak bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Sejarah adalah guru yang terbaik, dan nasihat saya kepada Zaid dan yang sewaktu dengannya, belajarlah daripada sejarah Pak Gafar. Lebih baik kita pegi Zoo Negara ‘ziarah kekawan berpose’ di sana lagi bagus,” ujarnya. -MediaUMNO


0 Komen
Post a Comment