SANDAKAN 29 Okt: Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata pembangkang tidak mempunyai kemampuan seperti yang dimiliki oleh Barisan Nasional (BN), sehubungan dengan itu, pengundi di kawasan Batu Sapi perlu membuat penilaian terhadap kemampuan parti pembangkang.
“Apa yang didakwa oleh pembangkang cumalah janji kosong kerana kemampuan mereka amat jauh berbeza dengan kemampuan yang dimiliki oleh BN,” katanya pada pertemuan di rumah ketua cawangan UMNO Kampung Karamunting, Abdullah Shaibil di sini malam kelmarin.
Menurutnya BN amat komited dalam membantu membangunkan rakyat daripada pelbagai aspek termasuklah ekonomi dan juga pendidikan.
Katanya kesungguhan serta komitmen tinggi BN telah dibuktikan dengan jelas berbanding dengan pembangkang yang hanya tahu menabur pelbagai dakyah.
Beliau berkata dakwaan pembangkang yang menggunakan slogan pembangunan untuk rakyat adalah untuk mengabui mata rakyat di kawasan tersebut.
“Pembangkang tidak mempunyai kemampuan berbanding BN yang menerajui kerajaan…BN mengotakan janji dan ini amat jelas dengan program pembangunan berterusan yang telah dilaksanakan,” katanya lagi.
Katanya rakyat di kawasan itu tidak harus terpedaya dengan dakyah-dakyah yang dilemparkan oleh pembangkang.
Beliau berkata pengundi di kawasan itu harus bijak membuat keputusan dan harus mengelak daripada membuat keputusan yang boleh menjejaskan masa depan.
“Keputusan yang dibuat pada hari ini akan memberi kesan kepada generasi akan datang…hanya BN sahaja yang mempunyai kemampuan, telus, bersungguh dan mempunyai komitmen tinggi untuk rakyat,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan Datuk Haji Karim Bujang dan Pengarah Bilik Gerakkan Jentera Pilihanraya Karamunting Hussin Nasib.


0 Komen
Post a Comment