Kerajaan Negeri Selangor Putar Belit Isu Hutang Kepada Kerajaan Pusat

Kenyataan yang dikeluarkan pada 27 Oktober 2010 oleh YAB Menteri Besar Selangor menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sanggup memutar belitkan fakta untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar yang telah menyebabkan isu penstrukturan semula industri air negeri Selangor tidak dapat diselesaikan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air YB. Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui berkata, kenyataan YAB Menteri Besar Selangor bahawa Jabatan Audit Negara bersetuju dengan Kerajaan Negeri bahawa pembayaran hutang air tidak timbul kerana aset air yang dimiliki Kerajaan Negeri melebihi RM9 bilion daripada aset asal, adalah tidak benar sama sekali.

Laporan Ketua Audit Negara jelas menyatakan hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan ialah RM829.86 juta tanpa menyebut mengenai nilai aset air Kerajaan Negeri.

“Saya menganggap bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu berniat untuk mengelirukan rakyat dan cuba mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar iaitu ketidakupayaan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan Model Holistik yang diuar-uarkan.

Sekiranya YAB Menteri Besar Selangor berniat ikhlas untuk menjaga kepentingan rakyat, saya menyarankan supaya YAB Menteri Besar Selangor menghentikan propaganda sebegini dan menumpukan perhatian untuk menyelesaikan isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor,” ujarnya dalam kenyataan kepada UMNO-Online.

Sehubungan dengan itu, Peter Chin menyeru Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air di negeri Selangor seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri, dengan cara rundingan yang biasa dilakukan dalam transaksi komersil iaitu “willing buyer, willing seller”.

“Saya juga ingin mengingatkan YAB Menteri Besar Selangor bahawa saya telah membuat kenyataan bahawa penstrukturan semula industri air perlu disegerakan dan pihak Kerajaan negeri Selangor juga telah diberikan selama dua bulan hingga akhir tahun ini untuk menyelesaikannya. Oleh itu saya menasihatkan YAB Menteri Besar Selangor untuk menumpukan perhatian mengenai perkara ini dan tidak membuat kenyataan yang berbau politik,” tambahnya lagi.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.