
Jika slogan pakatan pembangkang ini ialah ‘Harapan Baru Untuk Malaysia’, tapi hakikatnya tiada harapan lagi untuk pakatan ini memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia kerana sehingga ke hari ini, janji-janji mereka hanya tinggal janji semata-mata, ujar Setiausaha UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Zin Mohamed.

Beliau juga secara sinis mengucapkan 'takziah' kepada pentadbiran kerajaan PKR Selangor yang masih gagal menunaikan janji-janji dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 walaupun sudah genap tiga tahun memerintah.
“Janji yang ditaburkan parti-parti pembangkang semasa pilihan raya umum lalu hanya omong kosong dan banyak mengelirukan rakyat negeri ini.
Terlalu banyak kepincangan dalam pentadbiran kerajaan Selangor hari ini yang diterajui PKR di negeri ini walaupun usia pentadbiran mereka baru tiga tahun,” ujarnya.
PKR di Selangor berjanji akan menyediakan bekalan air percuma, menyediakan hadiah RM 1000 untuk pelajar-pelajar cemerlang dan hadiah khas RM 2000 untuk pelajar-pelajar yang berjaya memasuki universiti, bantuan kewangan kepada ibu mengandung untuk mengurus perbelanjaan hospital, bantuan khas RM 2500 untuk kematian, bantuan kebajikan RM 100 kepada keluarga miskin dan pelbagai macam lain-lain janji manis.
"Janji tersebut hanya tinggal janji. Kalau hendak disenaraikan banyak lagi yang tidak ditunaikan termasuklah memberi elaun khas antara RM150 hingga RM250 sebulan untuk para suri rumah bagi menjaga anak-anak kecil mereka. Meskipun berjaya melaksanakan janji pemberian air secara percuma tetapi masih ramai rakyat di negeri ini yang tidak dapat menikmatinya.
Saya lihat kerajaan negeri hanya bertindak sekadar melepaskan batuk di tangga dalam memastikan janji tersebut dapat dinikmati rakyat secara keseluruhannya," tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, Zin mencabar pentadbiran kerajaan negeri menunaikan semua janji dalam manifesto pilihan raya umum lalu sebelum menabur janji-janji baru sebagaimana terkandung dalam program Buku Jingga.
"Kalau tidak boleh tunaikan janji, maka selepas ini mereka tidak perlu lagi menabur pelbagai janji dan memberikan harapan palsu kepada rakyat. Sepatutnya mereka merasa malu kerana gagal melunaskan segala janji yang ditaburkan,"katanya.


0 Komen
Post a Comment