KUALA LUMPUR 24 Mac – Sikap Pas yang terus mempertahankan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi kemelut isu moral membuktikan bahawa parti itu sudah jauh tersasar dari apa yang diperjuangkan.
Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria berkata sikap yang ditunjukkan oleh Pas itu membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin mereka termasuk presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan tidak mempunyai pendirian sebenar.
“Pas harus membuktikan keikhlasan dalam perjuangan mereka, jangan sanggup disebabkan politik mereka boleh menukar apa jua pendirian mereka hanya untuk kepentingan politik, mana perjuangan Islam yang dikatakan mereka.
“Sepatutnya Pas, sebuah parti Islam yang bersama-sama PKR dalam pakatan pembangkang harus memberi nasihat pandang kepada Anwar DSAI berhubung masalah yang dihadapi,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pendirian Pas terhadap Anwar kerana adakalanya kepimpinan parti itu dilihat mengambil sikap berdiam diri, malah ada juga kenyataan yang dibuat bertentangan dengan perjuangan parti itu terutama apabila membabitkan isu moral Ketua Pembangkang.
Beliau berkata, Pas tidak harus berbuat begitu kerana apa yang berlaku itu boleh mengelirukan masyarakat terutama di kalangan umat Islam, malah ia boleh menyebabkan timbulkan tanggapan negatif masyarakat bukan Islam terhadap Islam sendiri.
“Apa yang berlaku membuktikan Pas kini sudah tersasar, mereka sepatutnya menasihatkan Anwar supaya membersihkan dirinya, apatah lagi beliau adalah Ketua Pembangkang kerana Pas turut menerima kesannya.
“Apa yang berlaku pada hari ini, Pas seolah-olah tidak mahu menyatakan pendiriannya dan masih berdolak-dalik dengan kepelbagaian dan menyokong juga beberapa fakta yang diambil kepentingan oleh Anwar,” katanya.
Nizar berkata, apa yang berlaku ialah pembangkang cuba mengalih atau mengelirukan rakyat dengan mengatakan apa yang berlaku itu adalah konspirasi UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan Anwar.
“Sebenarnya tidak ada terdetik, terlintas dipemikiran kita untuk melakukan perkara-perkara sedemikian rupa, apa yang berlaku adalah masalah peribadi beliau, masalah peribadi yang banyak berlaku di kalangan parti pembangkang, tetapi Pas masih lagi mepertahankan tindak tanduk serta salah laku mereka.
“Dari segi agama, saya cukup yakin pemimpin-pemimpin Pas lebih tahu dan lebih arif, lebih pandai, lebih cerdik dan mungkin boleh meminta beliau bersumpah untuk menafikan beliau melakukan perkara-perkara itu,” katanya.
Menurutnya, ketika di parlimen pembangkang menyatakan bahawa adalah sebuah parti yang mempunyai kewibawaan yang bersih segalanya dan menyatakan mereka adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik.
Beliau berharap rakyat dapat menilai dari apa yang berlaku dan tidak terpedaya dengan apa yang dimomok-momokkan oleh pembangkang dalam usaha untuk mendapat sokongan dan simpati. -MediaUMNO.



0 Komen
Post a Comment