
(Ronda-Ronda Bersama Sahabat-Gunung)
Kuala Terengganu, 9 Mac- Kerajaan Terengganu akan menghantar rombongan ke Cuba pada Mei atau Jun depan bagi meninjau peluang pelaburan dan kerjasama dengan negara itu terutama dalam bidang bio-teknologi dan nano-teknologi, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Cuba adalah antara negara yang telah maju dalam kedua-dua bidang itu dan kita berharap kerjasama itu dapat melonjakkan Terengganu dalam industri berkenaan, kata Ahmad kepada pemberita semasa dikunjungi Duta Besar Cuba ke Malaysia Carlos A Amores di sini hari ini.
Ahmad berkata, rombongan ke Cuba itu terdiri daripada beberapa profesor dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Sementara itu, Amores berkata, beliau ke Terengganu untuk mempelawa kerajaan negeri melawat Cuba bagi meninjau peluang kerjasama dalam bidang berkenaan.
"Malaysia dan Cuba telah menjalin hubungan dua hala yang baik di pelbagai peringkat. Walaupun begitu, kita masih lagi perlu mempertingkatkan kerjasama," katanya.
Beliau berkata terdapat pelbagai peluang pelaburan di Cuba terutama di bidang pelancongan, perubatan dan kesihatan selain teknologi nano dan bio-teknologi.
Katanya, Cuba masih memerlukan lebih banyak hotel dan kemudahan dalam bidang pelancongan. Cuba dikunjungi kira-kira 2.5 juta pelancong asing setahun.
Amores berkata, Cuba banyak mencapai kejayaan dalam bidang bio-teknologi terutama farmaseutikal. Ketika ini terdapat lebih 30,000 pelajar dari 70 buah negara menuntut di Cuba.


0 Komen
Post a Comment