KUALA LUMPUR, 12 April – Penganalisis politik tempatan, Profesor Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Borhan menyifatkan Pas kini terperangkap di dalam retorik politik perjuangan Islamnya apabila bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Tegasnya prinsip perjuangan Pas kini semakin diragui bukan saja di kalangan rakyat malah ahli parti itu sendiri yang melihat Pas seperti dipergunakan rakan pakatannya untuk meraih sokongan orang Melayu.
Malah Pas juga kata beliau lagi berada dalam persimpangan di dalam berdepan dengan isu moral yang membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Terlalu banyak skandal dan kontroversi moral yang melibatkan Anwar Ibrahim. Tidak selesai isu liwat, isu rakaman video seks pula dikaitkan dengannya. Jelas di sini, kredibiliti moral Anwar sudah banyak tercemar dan sampai bila Pas mampu untuk bertahan.
“Saya melihat Pas seakan tidak mampu untuk berdiri sendiri sehingga terpaksa tunduk mempertahankan rakan-rakan pakatannya yang jelas sentiasa bertentangan dengan prinsip perjuangan yang dilaung-laungkan mereka selama ini”.
Beliau yang juga merupakan pensyarah di Universiti Malaya turut menjelaskan bagaimana terdapat pelbagai perbezaan pendapat di kalangan pemimpin Pas dalam memperkatakan isu liwat dan rakaman video seks yang dikatakan.
Keadaan ini sebenarnya kata beliau menyebabkan ramai pihak termasuk di kalangan ahli mereka sendiri sangsi dengan hala tuju Pas dan ini termasuklah pendirian mengenai pelbagai tindakan sekutu mereka dalam pentadbiran di negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang.
“Kebenaran harus diperjuangkan walaupun pahit. Pas harus berani mengaku tindakan mereka menyertai pakatan PKR dan DAP satu kesilapan. Lihatlah kini, Pas tidak mampu untuk bersuara dan setiap kali mereka mengambil sebarang keputusan, ianya kerap dipersoalkan DAP ataupun PKR.
“Sebenarnya Pas menanggung banyak kerugian akibat dari tindakan mereka menyertai pakatan PKR dan DAP. Ini boleh dilihat dari beberapa pilihanraya kecil yang membabitkan mereka,” ujarnya. -MediaUMNO


0 Komen
Post a Comment