Pas Perlu Keluar Daripada ‘Pakatan Syaitan’


Sumber: MyNewsHub

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin menggesa Pas supaya segera keluar daripada ‘pakatan syaitan’ yang disertai parti tersebut ketika ini.

Menurut Zulkifli, Perjanjian Persefahaman Pakatan Pembangkang yang ditandatangani pada 18 Disember 2009 di Shah Alam dulu sebenarnya membawa kesan dan implikasi serius kepada Pas.

Katanya, antara lain perjanjian itu menggariskan yang agenda penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam tidak termasuk dalam dasar Pakatan Rakyat jika mereka memenangi pilihan raya dan mendapat kuasa untuk memerintah.

“ Jangan termakan dengan pembohongan kononnya setiap parti dibenarkan terus dengan agenda perjuangan masing-masing seperti DAP dengan Malaysian-Malaysianya, Pas dengan Negara Islamnya, dan PKR dengan cita-cita nak menabal pemimpin anugerah tuhannya sebagai Perdana Menteri.

“ Itu semua putarbelit sahaja untuk menutup isu, yang jelas dan muktamadnya Anwar, Karpal Singh dan Kit siang (dengan kerjasama segelintir pengkhianat didalam dan luar PAS) telah menyatakan bahawa agenda penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam tidak termasuk di dalam dasar pakatan pembangkang jika memerintah.

“ Persoalannya, adakah para muktamarin sedar perjanjian ini sebenarnya menjadikan dasar asas perjuangan Pas untuk mendirikan sebuah negara Islam dan melaksanakan syariat akhirnya telah dibakulsampahkan?,” katanya yang dipetik daripada laman blog rasminya, http://zul4kulim.blogspot.com.

Beliau seterusnya mengingatkan penyokong Pas mengenai perjuangan dan pengorbanan pejuang parti itu sebelum ini seperti Ibrahim Libya, Zulkifli Mohamad dan ramai lagi yang terpaksa membayar dengan nyawa semata-mata untuk berjuang menegakkan sebuah Daulah Islamiyyah.

Katanya, ahli Pas perlu sedar yang mereka sebenarnya sedang berdiri menikmati sedikit ‘kejayaan’ di atas darah para pejuang dan syuhada tersebut.

“ Jawapannya mudah, jika Pas mahu kembali kepada perjuangan asal, para muktamirin harus bangkit dan menegaskan bahawa Pas perlu dan wajib mufaraqah daripada Pakatan Syaitan ini, seterusnya berjuang bersendirian diatas kalimah Laa ila haillallah.

“ Itulah yang dibuat oleh Rasulullah, dan itulah resepi kejayaan Sultan Salahuddin,”. –

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.