Pemuda UMNO Lancar Laman Web Aduan Pekerja, Sedia 20 Peguam

Kuala Lumpur, 15 Jun- Di atas kesedaran dan keperluan semasa, Sekretariat Pekerja Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah melancarkan laman web www.aduanpekerja.my yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia sempena jamuan makan malam MTUC di Hotel Dorsett, Subang Jaya malam tadi.

EXCO merangkap Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, laman web ini diwujudkan selepas menyedari terlalu banyak kekangan dan permasalahan-permasalahan yang berlaku dikalangan golongan pekerja dalam pelbagai sektor di negara ini.

“Pihak sekretariat telah menerima banyak cadangan dan pandangan dari golongan pekerja agar medium ini diwujudkan bagi memberi kemudahan kepada golongan pekerja memandangkan tempat untuk mereka jadikan sebagai rujukan ataupun membuat aduan sekiranya terdapat permasalahan adalah amat terhad.

Pihak sekretariat telah menyediakan seramai 20 orang peguam yang terdiri dari ahli Pergerakan Pemuda UMNO untuk memberi khidmat nasihat dan guaman secara percuma berhubung permasalahan berkenaan ‘industrial law’ dan juga ‘labour law’. Pasukan peguam ini akan diketuai oleh Sdr. Zamri Idrus, peguam yang cukup berpengalaman,” ujarnya selepas majlis pelancaran laman web tersebut, malam tadi.

Ini mengambil kira hasil dari perbincangan dan aduan yang diterima daripada golongan pekerja sendiri dan juga kesatuan sekerja dimana masalah utama yang perlu ditanggung oleh golongan pekerja adalah kerana khidmat nasihat dan guaman memerlukan kos yang agak tinggi. Banyak masalah yang berkaitan dengan undang-undang yang masih tertangguh dan belum diselesaikan dengan jangka masa yang cukup panjang.

“Selain daripada itu, laman web ini juga dijadikan sebagai ‘platform’ untuk golongan pekerja menyuarakan cadangan, pendapat dan juga permasalahan melalui ruangan forum secara online yang disediakan.

Melalui laman web ini juga, pihak sekretariat akan menjadi perantara dan pemudahcara kepada golongan pekerja dan kesatuan sekerja terhadap pihak kerajaan (Kementerian Sumber Manusia). Ianya dapat membantu kerajaan dalam memperhalusi segala permasalahan yang berlaku dikalangan golongan pekerja,” tambahnya.

Tujuan utama laman web ini diwujudkan bukan hanya untuk mencari populariti atau kepentingan mana-mana pihak tetapi apa yang lebih menjadi keutamaan adalah masa depan golongan pekerja yang mempunyai jumlah yang cukup tinggi di negara ini dibela dan masalah-masalah yang mereka hadapi dapat dibantu dengan sebaiknya.

“Peranan Pemuda UMNO pada hari ini adalah untuk cuba memberi khidmat dan membantu dalam menyelesaikan permasalahan yang dialami atau ditanggung oleh rakyat. Ini merupakan model politik baru yang tidak hanya berpolitik semata-mata tetapi lebih memberi khidmat kepada rakyat agar matlamat untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara maju dan rakyat dapat hidup dengan sejahtera direalisasikan.

Saya mengharapkan, dengan wujudnya laman web ini, ianya dapat membantu semua pihak tanpa mengira agama atau bangsa lebih-lebih lagi fahaman politik. Ini adalah untuk semua khususnya golongan pekerja yang rata-ratanya merupakan golongan muda yang akan menjadi pewaris negara pada masa hadapan.”

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment