Polis Harus Halang Demostrasi BERSIH Demi Ketenteraman Awam- Pemuda

Kuala Lumpur, 9 Jun- Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa pihak polis bagi mengambil tindakan segera bagi menghalang demonstrasi Bersih yang dianjurkan pakatan pembangkang dan diketuai Timbalan Presiden PAS, yang dijadual diadakan di ibu negara pada 9 Julai depan.

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata demonstrasi berkenaan perlu dihalang bagi mengelakan berlakunya situasi tidak selamat terutama kepada peniaga, orang awam dan pelancong.

"Perhimpunan itu nanti akan membabitkan warga kota, pelancong dan peniaga yang pastinya akan merugikan banyak pihak. Sebab itu kita buat laporan ini polis bertindak awal bagi menghalang daripada ia berlaku.

Banyak cara lain untuk menyampaikan pendapat mereka ini. Memanglah mereka kata demonstrasi secara aman tetapi kebiasaannya tidak. Boleh tak pihak penganjur ini memastikan bahwa peserta demonstrasi dapat mengawal perasaan dan tingkah laku mereka ," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sebentar tadi.

Menurutnya, berdasarkan beberapa demonstrasi sebelum ini penganjur gagal mengawal peserta demonstrasi dari bertindak di luar kawalan hingga mencetuskan kekecohan.

"Ini bukan pertama kali demonstrasi sebegini diadakan, malah ini demonstrasi Bersih kali yang kedua dan berdasarkan pengalaman lalu memang wujudnya kekecohan hingga menyebabkan kerugian di kalangan peniaga.

"Tambahan pula mereka mahu adakan pada hari Sabtu, ia adalah hari tumpuan warga kota di kawasan ini, kami bimbang lebih banyak kerugian akan dialami," katanya.

Laporan polis berkenaan dibuat berdasarkan laporan akhbar Suara Keadilan bertarikh 7 Jun lalu yang memetik Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua sebagai berkata seramai hampir 60,000 akan menyertai perhimpunan berkenaan.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pada Ahad lalu turut menggesa seluruh rakyat negara ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik menyertai himpunan gerakan Bersih kedua.

Perhimpunan itu dirancang untuk mendesak kerajaan melaksanakan sistem demokrasi dan adil dalam proses pengundian pilihan raya.

Selain Pemuda UMNO, tujuh lagi laporan polis dibuat di balai polis yang sama iaitu oleh Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Pemuda UMNO Bukit Bintang, Persatuan Penjaja Wilayah, Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB), Belia Islam Kepong, Belia Bukit Bintang, dan Persatuan Peniaga Pasar Malam Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment