Kuala Lumpur, 12 Julai- Cukup-cukuplah berhenti menipu dan mempermainkan rakyat Selangor, penafian Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai sasaran kutipan hasil perlombongan pasir di Selangor sebanyak RM150 juta, juga disifatkan sebagai satu pembohongan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan rakyat.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman berkata, tindakan Abdul Khalid itu jelas tidak bertanggungjawab seperti mahu menyembunyikan fakta sebenar mengenai operasi serta hasil kutipan daripada aktiviti berkenaan.
Ini yang kita kesalkan, Menteri Besar cuba mengelirukan dan membohongi rakyat serta Sultan Selangor sendiri mengenai hasil kutipan pasir. Saya masih ingat lagi ucapan Menteri Besar sebelum ini di hadapan Sultan Selangor dua tahun lalu yang menyatakan sasaran kerajaan negeri dalam kutipan aktiviti itu adalah sebanyak RM150 juta.
Sasaran ini pernah dibuat Abdul Khalid dan hari ini beliau menafikannya. Apakah motif Khalid Ibrahim berkata demikian? Bagi saya ini satu pembohongan yang besar kepada rakyat serta Sultan Selangor dan menunjukkan Menteri Besar tidak bertanggungjawab,” ujarnya mengulas penafian Menteri besar Selangor semalam berhubung isu sasaran kutipan hasil perlombongan pasir di Selangor sebanyak RM150 juta setahun.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penafian Khalid Ibrahim mengenai janji kerajaan negeri yang menyasarkan kutipan hasil perlombongan pasir sebanyak RM150 juta di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.
Khalid Ibrahim membuat penafian itu ketika menjawab soalan Wong Koon Mun (BN-Kuala Kubu Baru) pada sesi soal jawab Sidang DUN Selangor, semalam.
Dalam jawapan tersebut, Khalid Ibrahim menyatakan kerajaan negeri tidak pernah membuat sasaran sedemikian sebaliknya menyatakan kutipan hasil daripada aktiviti tersebut di Selangor hanyalah melebihi RM100,000 setahun.
Pada 2009, Khalid Ibrahim dalam ucapan bajet negeri di hadapan Sultan Selangor telah menyatakan sasaran hasil kutipan perlombongan pasir di negeri ini sebanyak RM150 juta setahun melalui penubuhan syarikat Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).
Bagaimanapun, ketika bajet negeri 2010 yang dibentangkan November lalu, Khalid Ibrahim bagaimanapun menyatakan sehingga Oktober 2009, hasil daripada royalti pasir yang diterima oleh kerajaan negeri pada tahun berkenaan tersasar daripada sasaran awal iaitu RM4.6 juta.
”Sehubungan dengan itu, Khalid Ibrahim wajar menjelaskan kepada rakyat dan Sultan Selangor, permainan dan sandiwara yang beliau mainkan selama ini. Berpeganglah pada janji, jangan sekadar berjanji politik untuk menyedapkan telinga rakyat yang mendengar, tetapi bila gagal dan tidak mampu melaksanakannya, buat penafian atas janji-janji yang perlu beliau ucapkan selama ini,” tambahnya lagi.


0 Komen
Post a Comment