KUALA LUMPUR 12 Julai – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak perlulah membuat pembohongan untuk menafikan parti pembangkang tidak terbabit dalam perhimpunan haram Bersih, Sabtu lalu..
Sambil menyifatkan penafian itu sebagai satu jenaka hiburan Ketua Wanita UMNO Johor, Sharifah Azizah Syed Zain seterusnya berkata kenyataan Hadi itu hanyalah untuk membersihkan diri pembangkang kononnya mereka tidak terbabit langsung dalam perhimpunan itu walaupun ramai di kalangan mereka yang hadir serta mempromosikan perhimpunan berkenaan sebelum ini.
“Apa yang hendak dinafikan, sudah jelas perhimpunan haram itu didalangi oleh pembangkang, jika tidak masakan ramai pemimpin mereka hadir termasuk Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang turut sama berdemonstrasi.
“Malah gambar Haji Hadi dengan beberapa pemimpin pembangkang lain turut terpampang di akhbar, macam mana dia boleh nafikan pembangkang tidak terbabit dalam perhimpunan itu, habis gambar siapa yang disiarkan itu, bukankah itu semua gambar pemimpin-peminpin pembangkang,” katanya kepada UMNO-Online.
Menurutnya, pembangkang cuba memutar belitkan apa yang berlaku itu kerana khuatir sokongan mereka akan hilang kerana mereka dikatakan menjadi dalang perhimpunan itu yang telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk orang dan peniaga yang berurusan di kawasan berkenaan.
“Itulah perangai pembangkang, `baling batu, sembunyi tangan’ sedangkan perhimpunan haram itu adalah perancangan mereka dengan menggunakan pihak lain yang dijadikan alat memburuk-burukan negara dan kerajaan.
“Nampaknya ilmu putar belit Anwar semakin sebati dalam jiwa pemimpin Pas,” katanya.
Sharifah berkata, selepas ini tidak tahu apa lagi yang cuba dipesongkan oleh pemimpin pembangkang berhubung perhimpunan haram itu, dan apa yang pasti UMNO dan Barisan Nasional akan menjadi sasarannya. -MediaUMNO



0 Komen
Post a Comment