KUALA LUMPUR, 20 Julai – Generasi muda khususnya ahli-ahli UMNO harus pantas bertindak dan merebut peluang untuk mengepalai dan menentukan haluan perjalanan, agar kita tidak tertinggal atau tidak mengetahui peluang yang ada di depan mereka, ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shaifuddin Abdullah.
“Sebenarnya saya menyebut soal pandangan alam, bagaimana pandangan kita terhadap perkara-perkara dan realiti yang sedang berlaku. Pada saya, ada tiga fenomena yang sedang berjalan.
“Satu adalah fenomena media baru, sejauh mana kita menggunakan media baru dengan cara yang terbaik. Misalnya, kita gunakan media baru sebagai alat komunikasi atau kita meningkatkannya sebagai medan atau gelanggang untuk memberikan pandangan dan sebagainya,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini.
Ujarnya, fenomena yang kedua ialah berlaku kesedaran sosial dalam masyarakat dan dua benda yang menarik ialah satu pelakonnya terdiri dari kalangan orang muda, wanita, golongan profsional, golongan berpelajaran tinggi dan juga ahli-ahli akademik.
Keduanya kata beliau ialah kesedaran mereka itu dalam isu-isu yang bersifat budaya, bersifat nilai dan gerakan mereka tidak semestinya dalam bentuk konvensional.
”Mereka sangat tidak konvensional, mereka sangat mikro dan walaupun mereka `berselerak’ namun mereka mempunyai jaringan dan mereka boleh bersatu dalam isu-isu tertentu.
“Fenomena yang ketiga ialah sekarang dalam kefahaman orang terhadap demokrasi juga sudah berubah bahawa demokrasi bukanlah sekadar pilihanraya, bukan hanya parlimen. Apabila ketiga-tiga fenomena ini bercantum, ini yang sebenarnya sudah pun bercantum maka itulah yang saya katakan fenomena keretapi bergerak,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.
Tambah beliau lagi menerusi fenomena keretapi bergerak itu pilihan yang ada hanya empat.
“Pilihan pertama yang kita adalah adalah menaiki keretapi tersebut dan kita pandu keretapi tersebut. Pilihan kedua, kalau kita lambat, kita hanya akan jadi penumpang.
”Pilihan ketiga ialah kalau kita amat lambat, kita akan ditinggalkan keretapi. Pilihan yang keempat ialah kita akan menahan keretapi tersebut, kita tahan keretapi tersebut dan kita akan mati digilis keretapi tersebut.
“Cuma yang saya risau, kalau ada perkara yang kelima, kita tak nampak keretapi itu datang, maka kita terus tiada apa-apa perananlah.
“Jadi pada saya, kita dalam UMNO dan Barisan Nasional harus mengambil pilihan yang pertama, menaiki keretapi itu dengan cepat dan memandunya. Inilah yang saya lihat dilakukan oleh Datuk Seri Najib,” ujarnya.
Beliau memberi beberapa contoh seperti Datuk Seri Najib menggunakan media baru bukan hanya sebagai alat komunikasi tetapi dia berinteraksi.
“Ini bermakna Datuk Seri Najib menggunakan media baru itu sebagau gelanggang.
“Dalam masa yang sama, Datuk Seri Najib faham ada kesedaran sosial baru di kalangan masyarakat, sebab itu dalam banyak hal beliau bersikap terbuka untuk membincangkan isu-isu hatta isu-isu yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sensitif.
“Ini kerana Datuk Seri Najib tahu kalau kita tak bincangkan hal itu, orang lain yang akan membincangkan hal dan isu tersebut, dan kita akan kehilangan sokongan dari pengaruh politik dan yang ketiga, dari segi politik juga, bila Datuk Seri Najib mahu menggubal ETP dan GTP, dia tak buat seorang dan dia tak buat di kalangan pemimpin kerajaan sahaja, dia buat makmal.
“Ini bermaksud semua kumpulan yang berkepentingan diajak untuk bersama dalam membincangkan hal tersebut. Malah kenyataan Datuk Seri najib, berkali-kali dia sebut bahawa ’kerajaan yang mengetahui segala-galanya telah berakhir’ telah berlalu”, ujarnya.
Ini kata beliau lagi menunjukkan cara Datuk Seri Najib memahami bagaimana demokrasi itu telah berubah.
“Memang kerajaan akan buat keputusan tetapi sebelum kerajaan buat keputusan, dia akan mengambil pandangan semua pihak”, katanya. -MediaUMNO


0 Komen
Post a Comment