Kenyataan Media - Menteri Dalam Negeri

Kenyataan Media

YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein

Menteri Dalam Negeri

Kuala Lumpur, 9 Julai 2011

Demonstrasi Kumpulan Pengacau di Kuala Lumpur

1. Alhamdulillah selaku Menteri Dalam Negeri saya ingin menyatakan kesyukuran terhadap apa yang kita bimbangkan selama ini akhirnya tidak menjadi kenyataan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang telah berjaya menjalankan tugas dengan berani, adil dan berhemah demi keselamatan rakyat dan negara.

2. Saya membuat kenyataan ini kerana:-

i. Melihat kepada tindak tanduk mereka yang terlibat dalam insiden ini jelas bahawa niat dan hasrat mereka adalah untuk menghuru-harakan negara dan mengharapkan diri mereka ditahan bagi menggambarkan kekejaman pihak kerajaan.

ii. Kita bersyukur kerana pihak PDRM berjaya mengawal keadaan dan mengelakkan daripada pihak-pihak yang jelas mempunyai pendirian yang bertentangan daripada bertembung. Pihak polis juga telah berjaya melaksanakan tugas dengan baik walau dicabar dan menerima provokasi oleh mereka yang berdemonstrasi. Segala tindakan ini berjaya menghindari daripada berlakunya perbalahan, kecederaan dan sebarang kemungkinan lain yang lebih serius seperti pertumpahan darah dan kehilangan nyawa.

iii. Saya juga bersyukur kerana pihak berkuasa telah membuat siasatan yang rapi dan menjalankan tugas dengan sebaiknya dan berjaya merampas pelbagai senjata, bom, bahan kimia dan bahan-bahan bakar yang lain sehingga pihak berkenaan tidak dapat menggunakannya di dalam perhimpunan hari ini.

iv. Kebimbangan saya bahawa kemungkinan ada pihak ketiga termasuk pertubuhan antarabangsa asing akhirnya tidak kelihatan dan tidak berpeluang untuk mengambill kesempatan daripada apa yang berlaku disebabkan ketegasan pihak PDRM.

3. Ternyata kumpulan yang menjadi penganjur kepada perhimpunan ini tidak menghormati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong agar mengadakan perhimpunan di sebuah kawasan yang terkawal, selamat dan tidak mengganggu urusan orang ramai seperti di stadium. Nasihat dan pandangan Perdana Menteri juga telah tidak dipatuhi dalam hubungan ini dan telah ditolak secara bulat-bulat oleh mereka.

4. Sehingga ke peringkat akhir kumpulan ini jelas tidak mengambil inisiatif untuk berhimpun secara aman di salah sebuah lokasi yang tetap walaupun Kerajaan telah berulang kali memberi jaminan bahawa mereka boleh berhimpun di mana-mana stadium di luar ibu negara.

5. Saya telah dimaklumkan bahawa pihak polis telah mengambil segala langkah yang wajar dan bertindak mengikut undang-undang bagi mengelakkan timbulnya situasi yang tidak diingini. Kerajaan mempunyai sepenuh kepercayaan kepada pasukan keselamatan untuk menegakkan undang-undang negara dan memelihara ketenteraman awam. Pihak polis telah melaksanakan tugas di bawah lunas undang-undang dan saya berpuas hati dengan tindakan yang dibuat terhadap mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang.

6. Dalam insiden yang berlaku hari ini jelas bahawa kritikan terhadap peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah tidak kedengaran. Penganjur perhimpunan telah hilang peranannya dan gagal mengawal keadaan. Bukan lagi soal SPR yang timbul tapi sebaliknya penglibatan pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang telah menjadi lebih menonjol dengan agenda yang jauh berbeza dengan apa yang mereka umumkan sebelum ini. Mereka terus menerus melaungkan “Reformasi” dan mencetuskan kacau ganggu. Perhimpunan ini ternyata telah hilang arah dan penganjur perhimpunan perlu bertanggungjawab di atas kejadian-kejadian yang telah tercetus.

7. Kita kesal dengan tindakan pembangkang yang secara berterusan membohongi rakyat dan tergamak mencetuskan huru hara. Mereka langsung tidak menunjukkan tanggungjawab terhadap masa depan negara. Parti-parti pembangkang ternyata mempunyai tujuan jahat dan hanya mahu mencetuskan kekacauan. Matlamatnya hanya satu iaitu agar masyarakat antarabangsa mempunyai persepsi negatif terhadap negara ini. Pembangkang mahu agar Malaysia dilihat sebagai tidak stabil dan ini akhirnya akan membawa kepada pelbagai kesan termasuk kekacauan terhadap ekonomi dan menjatuhkan Kerajaan yang telah dipilih secara demokratik.

8. Kerajaan akan tetap mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen, prinsip ketertinggian perlembagaan dan kedaulatan udang-undang dengan menggunakan segala peruntukan undang-undang yang sedia daripada sebarang anasir yang cuba merosakkan dan mencabuli kehendak majoriti rakyat.

Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment