KUALA LUMPUR, 9 Julai – Jika kebiasaannya terutama di hujung minggu, kawasan popular untuk membeli-belah seperti Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid Jamek akan dipenuhi ribuan manusia tetapi suasana hari ini berbeza, dengan aktiviti perniagaan yang suram serta bilangan pelanggan yang boleh dibilang dengan jari.
Hampir 90 peratus peniaga di kawasan berkenaan menutup premis perniagaan masing-masing hari ini ekoran kebimbangan mengenai perhimpunan haram.
Bagi peniaga yang tekad beroperasi bagi mencari rezeki nyata tidak berbaloi kerana tidak ramai pelanggan yang berkunjung.
Seorang peniaga buah-buahan di pasar Chow Kit, Farhan Aziz, 28, berkata beliau terpaksa juga membuka gerai buahnya bagi menghabiskan baki jualan semalam walaupun sedar tidak ramai pelanggan yang akan datang.
“Hari ini buka pun sebab nak habiskan jualan semalam, kalau tak buah-buah ni akan busuk, siapa nak beli?
“Keadaan macam ini amat menyukarkan kami. Biasa saya boleh dapat dalam kira-kira RM2,000 sehari, tapi hari ini dalam keadaan begini, mungkin nak dapat RM500 pun belum tentu,” katanya yang sudah tujuh tahun berniaga di situ.
Peniaga ayam yang hanya dikenali sebagai Dino, 28, berkata beliau terpaksa mengurangkan bekalan ayam bulat kepada 500kg daripada satu tan hari ini berikutan sambutan yang tidak menggalakkan daripada pembeli.
“Sejak buka kedai pukul 5 pagi tadi, memang tak ramai yang datang, biasanya hari Sabtu pasar ni meriah, tapi hari ini suram, kedai pun banyak tutup, hari ini nak jual seekor ayam pun susah,” katanya yang sudah 20 tahun berniaga di situ.
Pengurus Pusat Pakaian Hari-Hari, Zulfah Mahadi pula berkata perniagaan tetap diteruskan walaupun ramai pekerjanya yang menaiki bas tidak dapat datang bekerja berikutan banyak jalan yang ditutup.
“Kedai kena buka juga sebab keadaan pun masih terkawal, tapi dalam masa sama kita tetap akan berhati-hati, terima kasih kepada pihak polis yang menjaga keselamatan di kawasan ini. Kalau keadaan menjadi tegang, kita mungkin akan tutup kedai bagi menjaga keselamatan pekerja dan orang ramai,” katanya.
Song Ah Lek, 17 berkata beliau tahu mengenai situasi yang berlaku menerusi media massa dan berasa kesal dengan keadaan yang berlaku.
Bagaimanapun berikutan keadaan masih terkawal, beliau yang tinggal di Chow Kit tetap meneruskan aktiviti harian seperti biasa tetapi dalam masa yang sama akan berhati-hati.
Keadaan Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sunyi sepi memberi kelebihan kepada Long Yu, 33, yang datang bercuti ke negara ini dari Guangzhou, China.
“Saya datang untuk bercuti dengan teman wanita saya, pada mulanya dia macam takut, tapi apabila nampak polis yang berkawal di sekitar jalan ini, kami yakin keadaan adalah selamat,” katanya.
Seorang jurutera dari Terengganu, Najwa Aziz, 26 , berkata beliau terpaksa membatalkan cadangan untuk membeli belah sekiranya kedai-kedai di Jalan Masjid India tutup.
“Nampaknya banyak kedai yang tutup, kalau keadaan ini berterusan sampai petang nanti saya mungkin akan ke Midvalley, kalau tidak sia-sia sahaja kedatangan saya ke mari,” katanya yang bertolak dari Kuala Terengganu 10 malam tadi.
Dalam pada itu Penyelia Kanan Pusat Beli-Belah Sogo, Aini Ali, 30, berkata perniagaan tetap diteruskan seperti biasa walaupun jumlah jualan untuk hari ini mungkin berkurangan sehingga 70 peratus.
Mengenai keselamatan, beliau berkata pihak pengurusan telah bersiap sedia dengan pasukan perubatan untuk memberi bantuan jika terdapat pelanggan atau kakitangan yang memerlukan pertolongan cemas.
“Kita akan tutup perniagaan jika keadaan tidak terkawal,” katanya yang terpaksa datang kerja pada waktu pagi walaupun bekerja pada waktu petang.
Di Hentian Duta, ramai penumpang bas terperangkap di situ berjam-jam berikutan banyak bas tidak dapat masuk ke Kuala Lumpur disebabkan jalan masuk ke bandar raya ditutup polis.
“Jadual perjalanan tiket yang saya beli sepatutnya bertolak dari Hentian Duta ke Perlis pada jam 11 pagi. Namun, bas yang ditunggu masih tidak tiba menyebabkan bas ditunda lebih kurang satu jam. Ini merupakan masa menunggu bas paling lama yang pernah saya rasa,” kata Paulina, 20, yang berasal dari Sarawak.
Syarikat Pengusahaan Bas Perjalanan Terus Sabak Bernam-Kuala Lumpur Sdn Bhd pula terpaksa memberhentikan penjualan tiket pada pukul 12 tengah hari ini disebabkan bas syarikat itu tersangkut di Restoran Jejantas, Sungai Buloh.
Penjual tiket, Zaharah Mohd Zam, 40, berkata perjalanan bas syarikatnya terpaksa diberhentikan kerana jualan tiket yang kurang.
“Pihak pengurusan juga memberitahu perjalanan bas pada pukul 12 tengah hari ini adalah yang terakhir untuk hari ini,” katanya. -MediaUMNO


0 Komen
Post a Comment