Shah Alam, 18 Julai- UMNO Selangor menasihatkan Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Suhaimi Shafiei agar tidak mencampuri urusan pentadbiran UMNO Selangor sebaliknya bersedia untuk menghadapi kes mahkamah atas tuduhan menderhaka kepada DYMM Sultan Selangor.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Suhaimi Shafiei seharusnya berani bertindak sebagai seorang pemimpin yang memperjuangkan keadilan terhadap peserta perhimpunan Bersih yang dianggap derhaka dengan titah DYMM Yang Di Pertuan Agong dengan mendesak kerajaan Selangor supaya menyediakan peruntukan khas untuk membayar denda ataupun menyediakan khidmat guaman kepada mereka.
”Ini akan memperlihatkan Shuhaimi sebagai seorang pemimpin yang tidak mementingkan diri sendiri malah seorang pejuang rakyat. Hak rakyat untuk menikmati keistimewaan yang sama diperolehi beliau tidak boleh dinafikan dimana kos guaman beliau ditanggung oleh kerajaan negeri Selangor.
Perkara ini tidak pernah berlaku di mana-mana negeri yang mana kerajaan negeri sanggup menganggung kos guaman untuk satu isu peribadi,” ujarnya mengulas kenyataan media Ketua Penerangan Keadilan Selangor yang mengatakan pemikiran UMNO Selangor semakin songsang pada 16 Julai lepas selepas kenyataan saya bahawa Perhimpunan PAS hanya mahu membersihkan imej Anwar disiarkan akhbar tempatan.
Tambahnya, sebagai seorang pemimpin yang memperjuangkan keadilan Shuhaimi seharusnya tahu bahawa segala nikmat yang beliau perolehi harus juga diperolehi oleh peserta perhimpunan Bersih.
Adalah tidak adil sekiranya hanya beliau sehaja yang boleh mendapat keistimewaan tersebut. Adakah keistimewaan tersebut diperolehi hanya disebabkan jawatan beliau sebagai seorang Ketua Penerangan PKR Selangor?
”Saya yakin Shuhaimi tidak berani untuk mendesak kerajaan negeri kerana takut Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil tindakan dengan menarik balik keistimewaan yang beliau perolehi. Ini akan jelas menunjukkan bahawa Ketua Penerangan PKR Selangor ini adalah seorang pemimpin yang mementingkan diri sendiri kerana gagal membawa keadilan kepada peserta perhimpunan Bersih.
Saya ulangi cabaran saya supaya Shuhaimi mengeluarkan kenyataan penuh mendesak supaya Kerajaan Negeri Selangor menyediakan segala kemudahan yang sama beliau perolehi kepada peserta perhimpunan Bersih ataupun mereka yang ditangkap kerana memakai baju Bersih,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
UMNO Selangor juga berkeyakinan penuh bahawa Shuhaimi akan mengatakan mahkamah tidak adil sekiranya beliau didapati bersalah dan mahkamah itu adil sekiranya beliau tidak bersalah. Inilah keadilan yang diperjuangkan oleh PKR.
”Mereka akan mendakwa semua itu adil apabila mereka mendapat faedah daripadanya dan tidak adil sekiranya sesuatu perkara tidak menyebelahi mereka.
Inilah prinsip perjuangan PKR,” ujarnya dalam satu kenyataan.


0 Komen
Post a Comment