KUALA LUMPUR, 18 Julai – Bekas pemimpin tertinggi PKR, Zahid Mat Arip berkata perhimpunan haram Bersih sebenarnya adalah gerakan ‘meliwat’ pemikiran rakyat agar bencikan kerajaan serta menutup segala kekotoran dan pengkhianatan Anwar Ibrahim .
Tegas beliau agenda perhimpunan haram Bersih bukannya bertujuan membuktikan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu tidak adil tetapi adalah kerana mahu melihat negara ini kucar kacir dan semua perkara yang memburukkan Anwar dapat ditutup.
Beliau turut mencabar Anwar dan juga semua pemimpin pembangkang lain, sekiranya benar mereka memperjuangkan dan mempercayai bahawa SPR itu tidak adil agar tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kalau betul SPR tidak adil, saya cabar mereka agar jangan sertai PRU akan datang. Jangan bertanding. Boikot PRU 13. Buat apa mereka hendak bertanding sekiranya mereka mendakwa SPR tidak adil. Itupun kalau mereka anak jantan dan ada harga diri.
“Bagi mereka ini, sekiranya mereka menang dan dapat kuasai kerajaan, ketika itulah baru mereka laungkan bahawa SPR itu adil dan telus. Barulah mereka akan memuji tindak tanduk dan kebijaksaan SPR. Saya ingin bertanya kepada pembangkang, sekiranya benar SPR itu tidak adil, adakah mereka mampu menang lima buah negeri pada PRU yang lalu?
“Untuk meningkatkan majoriti juga sudah pasti mereka tidak mampu sekiranya SPR tidak adil. Jadi, keadilan yang bagaimana lagi yang mereka mahukan,” katanya kepada UMNO-Online.
Jelas beliau, perhimpunan Bersih mempunyai agenda tersembunyi yang tidak didedahkan kepada penyokong mereka yang percaya kononnnya mereka mahukan SPR lebih bersikap adil pada PRU akan datang.
Malah beliau juga percaya agenda tersembunyi Bersih jelas boleh dilihat tetapi penyokong pembangkang seakan tidak mahu mengakuinya.
“Salah satunya, kononnya Bersih bukan membabitkan mana-mana parti politik tetapi sudah terang lagi bersuluh ianya didalangi oleh Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang lain.
“Ambiga hanya dipergunakan oleh Anwar yang memang terkenal dengan tipu muslihatnya. Dia akan menggunakan apa sahaja cara asalkan hajatnya untuk menjadi Perdana Menteri tercapai. Perjuangan Bersih bolehlah di samakan seperti perjuangan PKR yang hanya memperjuangkan nasib Anwar Ibrahim dan bukannya nasib rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan, oleh kerana semua cara Anwar Ibrahim untuk menghuru harakan negara tidak tercapai, kini sudah pasti Anwar akan cuba melengah-lengahkan lagi kesnya di mahkamah.
“Dia akan buat apa sahaja untuk melengah-lengahkan kesnya tambahan pula Azizah akan turut dipanggil menjadi saksi. Ketika itu, sudah pasti lebih banyak tipu muslihat Anwar akan terbongkar.
“Azizah mungkin berjaya menipu masyarakat di luar mahkamah, tetapi di dalam mahkamah sudah pasti Azizah juga akan berasa getar untuk bersoal jawab. Di dalam mahkamah, Azizah akan diajukan pelbagai soalan yang sudah pasti akan menjerat dirinya dan perkara inilah yang ditakuti oleh Anwar Ibrahim,” jelasnya lagi. -MediaUMNO


0 Komen
Post a Comment