PATRIOT Berhimpun Di Bukit Bintang Dan Berarak Ke Stadium Merdeka

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pemuda UMNO dan Kelab Putera 1Malaysia akan tetap meneruskan perhimpunan mereka di bawah program PATRIOT esok di Jalan Bukit bintang dan seterusnya berarak ke Stadium Merdeka.

Pengerusi Bersama PATRIOT, Khairy Jamaluddin berkata program tersebut akan bermula pada pukul 10 pagi dan rayuan untuk mendapatkan permit polis bagi mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka akan dibuat di IPD Dang Wangi petang ini.

Menurut beliau memandangkan perkembangan mutakhir ini yang menunjukkan pembangkang akan terus dengan usaha mereka, PATRIOT akan meneruskan semula rancangan mereka yang sebelum ini dibatalkan.

“Daripada awal kita sebut matlamat kita untuk tunjuk bahawa kita bantah cara mereka dan kita juga mewakili sebahagian besar yang disebut ‘silent majority’ rakyat Malaysia yang ingin kepada satu pendekatan berbeza daripada pihak pembangkang.

“Jadi apabila mereka tidak setuju untuk menerima nasihat daripada kerajaan dan buat perhimpunan mereka di luar Kuala Lumpur dan terus dengan perancangan, maka kita juga telah buat keputusan pada pagi ini kita akan teruskan semula perancangan kita.

“Kita buat ini adalah sebab hak kita, hak demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan. Tidak ada apa-apa keputusan yang boleh menghalang saya dan rakan daripada berhimpun. Jadi kita buat keputusan ini sebulat suara yang datang pada hari ini.

“Kita harap kita dapat berhimpun dengan aman dan petang ini kita juga akan buat rayuan untuk dapat permit di IPD Dang Wangi. Kita telah mohon pada 24 Jun lalu dan ditolak pada 6 Julai.

Ketika ditanya beliau merupakan antara yang dilarang memasuki Ibu Kota esok oleh pihak Polis, Khairy berkata pihaknya sedia menerima apa jua tindakan.

“Ini adalah hak kita untuk berhimpun. Kita ada hak yang termaktub dalam Perlembagan. Kita tidak mahu berdepan dengan mana-mana pihak terutama PDRM tetapi kita kita percaya ini hak kita.

“Kita dah bincang dan sebulat suara terima apa sahaja kesan dan apa sahaja tindakan yang boleh diambil terhadap kita. Bagi kita apa yang kita buat ini tidak salah untuk berhimpun untuk nyatakan pendirian,” katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa PATRIOT adalah satu program antara Pemuda UMNO dan Kelab Putera 1Malaysia.

“PATRIOT bukannya pertubuhan tetapi ianya adalah program Pemuda UMNO bersama Kelab Putera 1Malaysia. Jadi tanggapan sesetangah pihak bahawa PATRIOT adalah pertubuhan haram tidak betul,” katanya.

Khairy seterusnya menempelak pembangkang yang mewar-warkan kononnya mereka yang tidak sokong BERSIH merupakan mereka yang tidak menyokong ke arah perjalanan pilihan raya yang adil dan bersih.

“Ini tidak betul sama sekali. Keduanya BERSIH ini telah dipolitikkan dan sekarang ini didalangi oleh pembangkang. Hari ini BERSIH tidak lagi tertumpu isu soal pilihan raya yang adil dan bebas. Mereka sudah jadi agenda dan pelatform anti kerajaan, anti BN.

“Jadi kita tidak setuju dengan cara tersebut. Kalau nak adakan dialog yang konstruktif dengan SPR, kita pun setuju. Kita nak pastikan cara kita buat itu betul dan bukannya secara demontrasi jalananan dan sebagainya,“ ujarnya. -MediaUMNO

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.