Projek Pembangunan Kecil Mampu Sentuh Hati Rakyat – Md Jais

KLUANG, 5 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Jais Sarday berharap agar penumpuan kepada frasarana kecil diberi perhatian yang lebih kerana ianya lebih memberi impak kepada menyentuh jiwa rakyat.

Katanya, walaupun projek besar yang dibuat oleh kerajaan adalah untuk kesenangan rakyat namun projek kecil seperti pembaikan jalan kampung, lampu jalan, pembersihan longkang mampu memberi kesan yang lebih baik kerana rakyat mampu ‘merasainya’.

“Kita mampu menyentuh hati rakyat dengan projek-projek kecil seperti ini kerana rakyat dapat merasai bahawa kerajaan benar-benar mengambil berat keadaan mereka.

“Selain itu bahagian-bahagian yang kritikal harus diberi kos yang lebih bagi menampung aktiviti-aktiviti yang dilakukan. Sudah pasti kita akan memberi tumpuan yang lebih kepada kawasan-kawasan yang kritikal atau 50-50 untuk kita menangi seperti contoh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol di mana kita kalah di kerusi ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Jelas beliau jika tumpuan diberikan kepada kawasan seperti di Mengkibol ini dengan projek-projek prasarana kecil tidak mustahil BN mampu menang semula di kawasan tersebut.

“Di Mengkibol, memang diberi perhatian lebih khusus memandangkan kita memang mengharapkan undi dari kaum Cina yang memonopoli kawasan ini melebihi 60 peratus. Mahu tidak mahu kita terpaksa mengakui hakikat bahawa parti komponen di kawasan ini harus berusaha keras untuk memastikan pengundi Cina di sini menyokong kita.

“Bukan bermakna kita harus tunduk kepada semua kehendak mereka demi undi tetapi mereka harus difahamkan bahawa perjuangan Barisan Nasional (BN) meliputi semua bangsa,” jelasnya.

Terang beliau lagi bagi kerusi Parlimen Kluang dan DUN Mahkota, pihaknya amat yakin BN mampu mengulangi kejayaan pada PRU 12 lalu.

Sasaran beliau menjelang PRU 13 adalah menang bersih dan kerana itu pelbagai usaha dijalankan mendekati rakyat agar rakyat lebih faham apa yang telah kerajaan lakukan untuk mereka.

“Walaupun Johor dikenali sebagai kubu kuat BN namun kita tidak boleh alpa. Jangan sampai apa yang berlaku di Selangor menimpa Johor. Sebab itu, di bahagian Kluang, kita berusaha keras memberikan yang terbaik untuk parti.

“Semua gerak kerja yang diatur, diberi penekanan agar sentiasa mengambil kira masalah rakyat. Saya sendiri sentiasa berusaha keras untuk mencapai sasaran yang ditetapkan membantu parti mendapat majoriti dua per tiga di PRU akan datang,” jelasnya. – MediaUMNO

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment