Tak Perlu Persoal Keikhlasan Najib


Kuala Lumpur, 23 Ogos- Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah kesal dengan tindakan pemimpin pakatan pembangkang yang mempersoalkan keikhlasan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan meminta pakatan pembangkang agar menyertai jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan sistem pilihan raya yang bakal ditubuhkan Oktober ini

"Pembangkang desak Barisan Nasional (BN) macam-macam, kini bila BN cadangkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen kenapa pula nak pulaukan. Saya harap mereka terima dan sertai jawatankuasa pilihan khas Parlimen ini.

Saya juga harap jawatankuasa ini membincangkan melangkaui tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil Bersih 2:0. BN, pembangkang dan Bebas wajar dibenarkan membawa pemikiran-pemikiran yang bernas untuk bukan sekadar memperbaiki sistem pilihan raya sahaja tetapi juga keseluruhan amalan demokrasi di negara ini," ujarnya.

Pakatan Rakyat akan memutuskan pendirian sama ada mahu menyertai jawatankuasa itu esok dengan beberapa pemimpin utama berkata kemungkinan akan memulaukan jawatankuasa itu jika tidak memenuhi syarat perikatan tersebut

Jelas Saifuddin, pentadbiran Najib ikhlas untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan khas itu selain komited untuk melakukan reformasi pilihan raya

"Ini penting dalam mewujudkan amalan politik baru bagi mematangkan demokrasi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Saya beranggapan bahawa jawatankuasa ini perlu melihat sistem pilihan raya kita dengan holistik ia perlu mengkaji perkara-perkara dasar dalam sistem pilihan raya dan amalan demokrasi kita termasuk menilai sejauh mana kita melaksanakan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan pilihan raya dan demokrasi.

Oleh kerana jawatankuasa ini perlu melihat sistem pilihan raya secara holistik maka mana-mana perkara yang boleh dijalankan dengan segera perlulah dilaksanakan segera iaitu dalam pilihan raya umum ke-13 tetapi mana-mana perkara yang memerlukan perubahan yang besar contohnya melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, maka ia mungkin tidak sempat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-13," katanya.

Justeru kata Ahli Parlimen Temerloh ini berharap pembangkang tidak menjadikan keengganan kerajaan mahu melaksanakan semua tuntutan bersih 2.0 sebagai alasan untuk tidak menyertai jawatankuasa itu.

Jumaat lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengatakan Pilihan Raya Umum ke-13 boleh diadakan bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding jawatankuasa pilihan khas.

Datuk Seri Najib juga meminta pihak-pihak yang mempertikaikan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pembaharuan sistem pilihan raya agar tidak meragui keikhlasan kerajaan meskipun kemungkinan pilihan raya umum ke-13 diadakan lebih awal.

"Dalam hal ini saya rasa jawatankuasa perlu menetapkan rancangan pelaksanaannya dulu seandainya apabila tempoh mandat Parlimen telah tamat dan masih ada perkara yang belum diputuskan maka pilihan raya umum ke-13 tetap akan diadakan. Memang tidak boleh jamin semua kerja-kerja jawatankuasa ini akan siap sebelum April 2013 sesiapa pun tidak boleh jamin," katanya.

Bagaimanapun jelas Saifuddin beliau juga meminta semua pihak termasuk Pakatan Rakyat agar bertenang sehingga jawatankuasa pilihan khas itu ditubuhkan. Ini kerana jelas beliau fungsi dan tugas jawatankuasa itu hanya akan diketahui selepas ia ditubuhkan.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment