
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Perletakan jawatan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Datuk Dr. Rosti Saruwono dengan notis 24 jam adalah satu lagi bukti pecahnya tembelang kerajaan pakatan pembangkang yang ditadbir oleh PKR dengan Menteri Besarnya, Khalid Ibrahim.
Pengalisis politik tempatan, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin melihat sewajarnya hal-hal sedemikian tidak berlaku apatah lagi dunia akademik tidak boleh dicampur-adukkan dengan hal-hal politik.
“Sekiranya benar bahawa kerajaan negeri memberi tekanan politik kepada Naib Canselor Unisel maka secara tak langsung ia menyamakan kedudukan Unisel dengan badan-badan politik lain yang boleh dipergunakan untuk kepentingan peribadi dan bagi mengekalkan kuasa mereka di negeri terbabit,” katanya kepada UMNO-Online.
Dilaporkan perletakan jawatan Dr. Rosti berkuatkuasa hari ini akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.
“Jika seorang individu yang berkredibiliti seperti Dr. Rosti ditekan sedangkan beliau adalah seorang yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Bahagian Pendidikan Petronas dan Rektor pertama Universiti Teknologi Petronas (UTP) jadi bagaimana lagi dengan yang lain-lain,” katanya.
Jelasnya juga Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), perletakan jawatan Dr. Rosti ini sendiri adalah gambaran jelas sebagaimana diperkatakan bahawa kerajaan Negeri Selangor menggunakan kakitangan kerajaan sebagai jentera bagi menyebar dan memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri tersebut.
“Inilah strategi dan taktik yang digunakan oleh mereka bagi memastikan kedudukan mereka di negeri yang telah dikuasai menjelangnya pilihan raya akan datang,” katanya.
Dilaporkan Dr. Rosti membuat keputusan keputusan tersebut berikutan beliau tidak sanggup melaksanakan tindakan terhadap tiga pegawai Unisel yang diarahkan dilucut jawatan.
Tindakan itu sebagai ‘membantah’ keputusan pelucutan jawatan tiga orang pegawai iaitu Pendaftar, Rokmaa Mat, Dekan Fakulti Perniagaan, Prof. Dr. Khalifah Othman dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Halid Hasbullah yang dicadangkan dalam satu rumusan memorandum yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Siasatan Exco Kerajaan Negeri.
Dr. Rosti dilantik sebagai Naib Canselor Unisel pada 2 Mac 2009 bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Razali Agus yang mengosongkan jawatan itu pada Julai 2008.
Semasa baru dilantik, beliau menegaskan tidak akan menjadi “pak turut” kepada mana-mana pihak dan ingin memastikan institusi pengajian tinggi swasta milik kerajaan negeri itu tidak dijadikan medan berpolitik.
Unisel ditubuhkan pada 23 Ogos 1999 dan kini mempunyai lapan fakulti yang menawarkan pelbagai bidang pengkhususan antaranya kejuruteraan, teknologi maklumat, industri, bioteknologi, komunikasi dan media serta pengurusan perniagaan yang dikendalikan lebih 1,000 tenaga pengajar. – MediaUMNO


0 Komen
Post a Comment