Laporan Audit 2010 Bukti Nilai Sebenar Penasihat Ekonomi RM1 Selangor

Pembangkang disaran cermin diri berhubung laporan Ketua Audit Negara 2010 termasuk teguran agensi berkenaan terhadap negeri-negeri yang dikuasai mereka khususnya di Selangor.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal berkata berbekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya “pakar ekonomi” dengan bergaji RM1.00, negeri berkenaan sudah pasti akan mendapat prestasi yang baik.

Namun ujar beliau lain pula jadinya apabila beberapa syarikat kerajaan negeri mengalami kerugian yang tidak sepatutnya berlaku memandangkan orang yang dikatakan bijak oleh penyokong mereka berada di kerusi Penasihat Ekonomi negeri.

“Kepada pemimpin pembangkang, cermin-cerminlah diri anda dahulu sebelum mengkrtik mana-mana pihak yang lain. Kalau di negeri sendiri pun tidak terurus, janganlah berlagak bijak dan pandai sebaliknya ambil teguran laporan audit berkenaan sebagai pengajaran.

“Pelbagai kementerian yang menjadi sasaran mereka tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menunjukkan mereka kononnya bagus dan hanya kerajaan pimpinan BN sahaja yang salah. Tetapi mereka lupa kepada apa yang berlaku di negeri sendiri.

“Bak kata pepatah, gajah di depan mata tidak nampak manakala kuman di seberang laut kelihatan dengan jelas termasuk dengan kakinya sekali. Itulah perumpamaan tepat parti pembabangkang,” katanya di sini.

Antara laporan audit 2010 mengenai Selangor adalah penyata kewangan negeri tersebut berhubung hasil pendapatan kerajaan negeri yang menurun 10.9 peratus.

Pulangan pelaburan jangka panjang di Selangor juga tidak memuaskan apabila mendapat pulangan dividen rendah dan hanya 64.5 peratus projek Rancangan Malaysia Ke-9 dibiayai kerajaan negeri dapat disiapkan.

Selain itu, anak syarikat pelaburan Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) juga mencatatkan kerugian RM122 juta pada tahun 2009 termasuk Kumpulan Peransang Selangor Berhad yang dikatakan mencatat kerugian RM139.23 juta selepas cukai.

Ungku yang juga Ketua Pemuda Serdang seterusnya menasihatkan pimpinan negeri itu agar meneliti laporan berkenaan sebaik mungkin dan bukannya mencari kesalahan pihak lain untuk dijadikan modal untuk meraih simpati rakyat.

“Seringkala mereka ini lupa cermin diri sendiri apabila asyik mengkritik orang lain.

“Daripada membazirkan masa membuat kritikan sedemikian, alangkah baiknya mereka memikirkan bagaimana untuk melaksanakan tanggungjawab untuk rakyat terutama melunaskan pelbagai janji yang dibuat pada pilihan raya umum lalu. Itu lagi baik bagi saya,” katanya.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment