ADUN BN keluar dewan tanda protes sikap Speaker berat sebelah


Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) hari ini meninggalkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebagai tanda protes terhadap Speaker yang didakwa tidak adil dan berat sebelah.

Tindakan itu dibuat setelah ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd. Shamsudin Lias mendedahkan bahawa Datuk Teng Chang Khim menghantar satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seluruh Exco kerajaan negeri yang diterimanya pada pagi ini.

Difahamkan, SMS berkenaan dihantar Chang Khim kepada bekas Exco kerajaan negeri sebelum sampai pada pengetahuan ADUN-ADUN BN. 

Bercakap kepada pemberita di luar dewan kira-kira pukul 11.45 pagi ini, Mohd. Shamsudin menyatakan dalam SMS tersebut, Chang Khim meminta agar semua Exco menggunakan peluang sepenuhnya sesi perbahasan pada sidang DUN untuk menyatakan kejayaan kerajaan negeri dalam mentadbir Selangor dalam tempoh empat tahun ini.

Jelas Shamsudin, tindakan Speaker itu dilihat tidak wajar kerana dalam mengendalikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau sepatutnya bersikap bebas dan tidak memihak pada mana-mana parti termasuklah daripada kerajaan negeri mahu pun pembangkang.

"Berdasarkan SMS itu, kita dapati Speaker tidak bebas, tidak adil dan sentiasa memantau tindakan Exco kerajaan negeri. Jika sikap ini yang diamalkan, bagaimana Speaker boleh mengendalikan sidang DUN yang dilihat berat sebelah," katanya di sini.

Sementara itu, ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus turut menyifatkan tindakan Chang Khim itu tidak pernah berlaku dalam mana-mana sidang DUN Selangor sebelum ini.

Jelasnya, Speaker tidak boleh hantar SMS sedemikian kecuali Menteri Besar sekiranya mahu meminta semua Exco membahas tentang kejayaan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mentadbir Selangor hampir empat tahun.

"Dalam hal ini, Speaker mengambil pendirian berat sebelah apabila hantar SMS yang memberi rangsangan kepada anggota Exco supaya menjawab baik mengenai pemerintahan pakatan pembangkang," katanya.

Dalam pada itu, Chang Khim ketika ditemui pemberita menafikan beliau berat sebelah apabila menhantar SMS berkenaan kepada semua Exco.

Sebaliknya, beliau memberikan alasan bahawa tindakannya menghantar SMS berkenaan kepada semua Exco adalah untuk memberi peringatan agar menggunakan peluang membahaskan sesuatu isu seperti mana yang dilakukan oleh Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Yaakob Sapari.

Malah jelas Chang Khim, semua ADUN BN boleh membawa usul terhadap beliau jika didapati menyalahgunakan kuasanya sebagai seorang Speaker.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment