Kumpulan Felda tidak pernah mengeksport mana-mana produk ke Israel
menerusi anak-anak syarikatnya termasuk Felda-Iffco Sdn Bhd (FISB), kata
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan hari ini.
Beliau berkata FISB hanya membuat penghantaran ke Palestin pada
2010 dan 2011 bagi memenuhi pesanan untuk pasaran tempatan dengan menggunakan
pelabuhan Ashdod di Israel, kerana tidak mempunyai saluran penghantaran lain.
“Semua produk itu yang terdiri daripada minyak pukal dan lelemak
adalah untuk dihantar ke Palestin,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen
di sini.
Beliau mengulas dakwaan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) ketika membahaskan
usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat yang mendakwa
Felda mengeksport minyak kelapa sawit ke Israel.
Ahmad menjelaskan FISB mula membuat penghantaran ke Palestin pada
Mac 2010 manakala penghantaran terakhir dilakukan pada 9 Dis 2011 dengan nilai
dagangan sekitar RM30 juta.
Menurutnya invois bertarikh 7 Jan 2012 jelas menunjukkan bahawa
FISB telah membuat penghantaran dengan menggunakan kapal Gallia V.1201 ke
alamat, Ajjawi Commercial Stores Company, Jenin-Palestin melalui pelabuhan
Ashdod.
Ahmad berkata semua jualan itu mempunyai permit eksport daripada
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum penghantaran dibuat.
“Jualan produk minyak pukal dan lelemak adalah berdasarkan
terma-terma kos, insurans dan pengangkutan,” katanya.
FISB, yang beribu pejabat di Pandamaran, Klang adalah sebuah
syarikat multinasional usaha sama antara Felda Global Ventures Holdings (FGVH)
dan Kumpulan IFFCO, syarikat pemprosesan makanan yang berpusat di Sarjah,
Emeriyah Arab Bersatu (UAE).
0 Komen