Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menyerahkan
kepada pihak pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berhubung
pembangunan di kawasan Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor
(PKNS), Kelana Jaya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menghalang untuk PNKS untuk
melaksanakan apa juga projek pembangunan di lokasi berkenaan dengan nilai yang
sesuai.
Sungguhpun begitu katanya, beliau tidak membenarkan PKNS menjual
tanah tersebut selain meminta agar anak syarikat kerajaan negeri itu melakukan
sendiri kerja-kerja pembangunan di tanah berkenaan bukannya kepada syarikat
lain.
"Kita (kerajaan negeri) tidak halang pegawai PKNS bagaimana
untuk melaksanakan pembangunan hartanah berkenaan (Kompleks Sukan PKNS di
Kelana Jaya).
"Tetapi PKNS tidak boleh buat amalan mengambil 30 peratus
daripada hasil projek manakala 70 peratus kepada syarikat lain menerusi konsep
usaha sama.
"Sebaliknya PKNS harus melaksanakan sendiri sebarang projek
pembangunan di kawasan berkenaan yang mana 70 peratus hasil diperolehi oleh
PKNS manakala 30 peratus diberikan kepada syarikat usahasama yang berperanan
sebagai pelabur," katanya.
Abdul Khalid (PKR-Ijok) berkata demikian ketika menjawab
pertanyaan Ismail Sani (BN-Dusun Tua) mengenai PKNS yang dikatakan akan menjual
tanah di Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya untuk tujuan komersial.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abdul Khalid
turut meminta agar pengurusan PKNS perlu membuat perbincangan dengan masyarakat
tempatan sebelum melaksanakan apa-apa
pembangunan di kawasan berkenaan.
Malah katanya, hasil daripada projek projek pembangunan itu, PKNS
boleh menyalurkan untuk membina projek-projek lain melibatkan rumah mampu milik
di negeri ini.
"Namun, semua pembangunan harus dilakukan secara
profesional," ujarnya.


0 Komen
Post a Comment