MBS Teraniaya- Slogan Selangor Negeri Berkebajikan Hanya retorik Semata-mata


Kompleks Belia & kebudayaan Selangor Jadi `Barang Dagangan' kerajaan Khalid Ibrahim 


Majlis Belia Selangor (MBS) yang mewakilli semua persatuan belia di negeri Selangor kesal dan kecewa dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor di bawah syarikat milik Menteri Besar Selangor (Perbadanan) iaitu MSNS HOLDINGS SDN BHD yang mengenakan kadar sewa yang begitu tinggi kepada MBS untuk menyewa dan menjalankan aktiviti di Kompleks Belia. 

Timbalan Presidennya, Badrul Hisham Badrudin berkata, Bangunan Kompleks Belia di Seksyen 7 Shah Alam ini telah dibina pada tahun 2001 oleh Kerajaan Negeri ketika itu. Bangunan serta dewan besar  Raja Muda Musa telah terbina atas dasar keperihatinan, pengiktirafan dan wawasan pemerintahan kerajaan negeri akan peranan persatuan-persatuan belia di dalam negeri Selangor.

”Menjunjung Merapat sembah, sukacita kami maklumkan, penaung kami ialah DYTM Raja Muda Selangor Darul Ehsan, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu melihat aktiviti belia di negeri ini digerakkan secara aktif dengan terbinannya kompleks ini.

MBS telah menghuni bangunan kompleks ini dari awal tahun 2001 sehinggalah sekarang. Sebelum tahun 2008, MBS beroperasi di lantai empat dan lima tanpa dikenakan sebarang bayaran sewaan. Akan tetapi setelah kepimpinan kerajaan negeri beralih kuasa, untuk pertama kalinya pihak pengurusan bangunan yang di bawah penyeliaan Setiausaha Kerajaan Negeri telah mula mengenakan sewaan kepada kami dengan kadar RM1,977 sebulan termasuk elektrik dan air pada Januari 2011 untuk searas tingkat,“ ujarnya kepada pemberita, petang tadi.

Tambahnya, tanpa belas kasihan, pihak pengurusan seakan memekakkan telinga menolak rayuan MBS agar tidak dikenakan sewa bulanan. MBS juga terpaksa merelakan dan melepaskan penggunaan tingkat aras 4 kerana tidak mampu membayar sewa yang dikenakan dan hanya beroperasi di aras 5 sahaja.


“Sekali lagi kami dikejutkan apabila syarikat pengurusan sekali lagi pada awal 2012 telah menaikkan sewa kepada RM5,280 + RM900 (penggunaan elektrik, air dan sinking fund) dan deposit sebanyak RM10,560 (sewa 2 bulan) yang ditetapkan. MBS adalah persatuan belia, bukan syarikat perniagaan. Daripada mana kami hendak mendapatkan sewa sedangkan kami sendiri tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap.

Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, kami teraniaya. Slogan Selangor Negeri Kebajikan dan perutusan “Tabung Warisan Anak Selangor” atau TAWAS oleh Menteri Besar Selangor, “Saya dan jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor terus berusaha mengutamakan kebajikan dan kualiti hidup rakyat Negeri Selangor tanpa mengira keturunan, bangsa, agama mahupun dukungan politik”, hanyalah retorik untuk meraih sokongan rakyat,” ujarnya yang juga Pengerusi Belia 4B negeri Selangor

MBS terus dianak tirikan oleh kerajaan negeri. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku. Persoalannya sekarang mengapakah Kerajaan Negeri masih menutup telinga dan tidak mendengar permasalahan MBS malah sudah terlalu banyak permohonan pengurangan berkenaan sewaan kami ajukan kepada pihak pengurusan tetapi tidak diendahkan.

Sejak dari tahun 2008, kerajaan negeri tidak pernah satu sen pun menghulurkan bantuan kewangan kepada MBS mahupun kepada persatuan-persatuan belia di bawah payung MBS.

“Mengapakah peruntukan kewangan hanya diagihkan kepada pengerak belia tempatan (PeBT), Rakan Muda PBT dan Generasi Idaman Selangor (GeMS)? Di manakan ketulusan dan keikhlasan kerajaan negeri memegang amanah yang suatu masa dahulu melaungkan, “Mewujudkan kerajaan beramanah, adil, bersih dan berkebajikan”?  

Jika kerajaan negeri betul-betul serius mahu melestarikan persatuan-persatuan belia dan belia di Selangor khususnya, mereka tidak akan mengenakan kos sewa yang tinggi kepada MBS untuk menyewa di bangunan ini dan menggunakan prasarana yang dibina untuk kemudahan belia di negeri ini. Justeru kami mendesak kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mempertimbangkan semua kadar sewa tersebut. Atau tukar sahaja nama kompleks ini kepada kompleks perniagaan jika kerajaan negeri benar-benar mahu memikirkan keuntungan daripada memikirkan aktiviti belia di negeri ini digerakkan,” tambahnya lagi.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

Post a Comment