ADUN Kuala Nerang Belum Bertemu Pengerusi UMNO Bincang Masalah Muflis


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim masih belum berjumpa beliau selepas mengisytiharkan dirinya muflis baru-baru ini.

"Selepas beliau mengumumkan dirinya muflis, beliau masih belum berjumpa dengan saya berbincang tentang perkara itu bagi meminta pandangan atau bantuan daripada parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama tiga persatuan pemandu teksi di Stesen Teksi Shahab Perdana di sini, malam tadi.

Katanya beliau menghargai tindakan Syed Sobri yang mahu menyelesaikan hutang-hutangnya sendiri.

"Jika beliau menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan masalah hutangnya, beliau boleh datang berjumpa dengan saya untuk berbincang dan saya akan panjangkan perkara itu kepada ibu pejabat.

"Di peringkat negeri, kita tidak mampu nak selesaikannya dan kita perlu panjangkannya ke peringkat pusat," katanya.

Tiga hari lepas, Syed Sobri mengumumkan dirinya muflis setelah gagal melunaskan baki hutang berjumlah RM8 juta dengan beberapa bank tempatan serta agensi kerajaan.

Hutang tersebut adalah sebahagian daripada pinjaman RM50 juta yang diambil pada 1998 untuk membolehkan syarikatnya, Kulim Enterprise Sdn Bhd, disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Malaysia pada masa itu.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan uniform, seluar dan kasut kepada 200 pemandu teksi dari Persatuan Pemandu dan Kereta Sewa Luar Bandar Kedah Utara, Persatuan Kebajikan Pemandu dan Tuan Empunya Kereta Sewa Kedah dan Persatuan Teksi Limosin Lapangan Terbang yang bernilai RM19,000 melalui peruntukan Anggota Parlimen Alor Setar, Datuk Chor Chee Hueng.

Ahmad Bashah turut menyampaikan cek pinjaman Tekun Nesional melalui
Tabung Usahawan Kecil dan Sederhana kepada 28 pemandu teksi dengan jumlah RM114,000 bagi membantu pemandu teksi menukarkan penggunaan petrol kepada penggunaan gas asli (NGV).
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment