Kerajaan Pusat sentiasa bersedia untuk mempertimbangkan apa juga
bentuk bantuan kepada Selangor dalam untuk menangani sesuatu isu, seperti
masalah banjir asalkan mempunyai permohonan.
Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, bantuan
yang dimohon akan terus disalurkan sekiranya ianya relevan dan perlu
diselesaikan segera.
Walau bagaimanapun, sehingga kini Kerajaan Pusat masih tidak
menerima sebarang permohonan peruntukan daripada Kerajaan Negeri khususnya
dalam menangani masalah banjir di negeri itu.
“Bila saya cakap pasal banjir di Selangor, Exconya pernah berkata,
beliau telah berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, dan
telah menghantarnya kepada Kerajaan Pusat.
“Tetapi Menteri Besarnya pula berkata, permohonan kepada Kerajaan
Pusat baru hendak dimohon dan kita tidak tahu mana satu yang selama ini
bercakap benar dan sebaliknya.
“Bagaimanapun, jika adanya permohonan, Kerajaan Pusat akan
mengkajinya dan apabila permohonan berkenaan relevan, kerajaan pusat tidak
keberatan untuk membantu,” katanya semasa lawatan kerjanya ke Projek Pertanian
Moden, di sini, semalam.
Turut hadir, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Datuk Ab
Aziz Kaprawi.
Menurut Noh, setelah melihat kedua-dua kenyataan berkenaan
bercanggah ini menunjukkan Kerajaan Negeri Selangor sememangnya lemah dalam
urus tadbir negeri itu serta pemimpinnya tiada muafakat antara satu sama lain
Katanya, mereka sebenarnya memerlukan satu sistem pemantauan yang
cekap dan jangan sentiasa menyalahkan kerajaan pusat jika berlakunya sesuatu
bencana atau tragedi seperti banjir kilat.
“Setelah saya membuat semakan dengan Kementerian Sumber Asli dan
Alam Sekitar, tidak ada pun permohonan kepada Kerajaan Pusat berkenaan isu
terbabit.
“Saya pernah dituduh tidak mahu membantu kerajaan Selangor untuk
isu ini, dan pernah juga mereka katakan saya tidak buat apa-apa untuk dapatkan
RM1 bilion untuk kerajaan mereka.
“Macam mana nak ada peruntukkan sedangkan permohonan pun tidak
ada?” katanya.


0 Komen
Post a Comment