MKN Arah Penduduk Kuala Muda Jauhi Kawasan Pantai, Bukannya Berpindah


Majlis Keselamatan Negara (MKN) malam ini hanya mengarahkan penduduk di kawasan Kuala Muda menjauhi kawasan pantai bukan meminta mereka berpindah.

Pengarah MKN, Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab berkata arahan itu yang dikeluarkan oleh MKN berikutan potensi berlaku tsunami susulan gempa bumi kuat di Aceh, Indonesia petang tadi telah disalah faham penduduk tempatan.

Daripada pemantauan MKN melalui satelit mendapati ramai penduduk di kawasan itu bersama anak-anak mereka telah turun ke pantai setelah pihak berkuasa mengeluarkan "tsunami alert" (amaran tsunami) di kawasan tersebut.

Tindakan penduduk kawasan itu turun ke kawasan pantai beramai-ramai boleh membahayakan diri mereka berikutan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia yang gempa bumi tersebut berpotensi mengakibatkan berlaku tsunami di kawasan pantai di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak, katanya.
Mohamed Tajudeen berkata demikian bagi mengulas laporan bahawa penduduk di situ dimaklumkan mereka telah diarahkan berpindah berikutan kemungkinan tsunami akan melanda kawasan itu.

Gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Richter itu dilapor berlaku pada pukul 4.30 petang waktu Malaysia dan gegarannya turut dirasai di beberapa negeri di Semenanjung.

Sementara itu di ALOR SETAR, imam Taman Permatang Katong, kawasan penempatan berhampiran kawasan Kuala Muda, Shukri Ismail berkata beliau mendapat maklumat dari mulut ke mulut bahawa pihak berkuasa mengarahkan mereka berpindah selewatnya petang tadi.

Guru Sekolah Menengah Kota itu berkata beliau dimaklumkan bahawa yang diarahkan berpindah termasuk penduduk Kampung Kepala Jalan, Keda, Tepi Sungai, Hujong Matang, Mata, Masjid dan beberapa kampung lagi.

Katanya mereka merasai gegaran selama hampir tiga minit semasa sedang menunggu untuk menunaikan solat Asar di surau kampung berkenaan.

"Selepas menunaikan solat kami beramai-ramai ke tepi pantai untuk melihat keadan laut. Bagaimanapun ramai penduduk yang tinggal berhampiran pantai telah berpindah," katanya.

Ketika kejadian tsunami 2004, lapan penduduk kawasan itu maut.
Tags:

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment