Pemuda UMNO akan menyerahkan senarai calon bagi Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU-13) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hujung bulan ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata senarai itu hampir siap tetapi
belum muktamad kerana beberapa aspek seperti kelayakan calon yang akan
dipilih perlu dinilai sebelum diserah kepada Perdana Menteri.
"Berapa ramai belum muktamad lagi... jadi saya tidak berani
untuk umumkan lagi kerana kita perlu menyemak, menapis serta membuat rujukan
dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup dan penyerahan
resolusi Persidangan Meja Bulat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) di sini hari ini.
Beliau berkata setiap calon dipilih berdasarkan beberapa kriteria
termasuk berkhidmat sebagai seorang pemimpin Pemuda UMNO selama tiga tahun,
selain penerimaan masyarakat umum dan parti terhadap mereka dan ciri ini amat
penting bagi menentukan kelayakan calon tersebut.
"Calon yang kita pilih tidak hanya popular di dalam parti
tetapi diterima masyarakat masyarakat.
"Kalau dia popular di kalangan masyarakat setempat sahaja
tapi tidak popular dalam partipun ada masalah juga sebab nanti susah untuk
gerakkan jentera, jadi kena ada kombinasi kedua-duanya sekali," katanya.
Khairy berkata calon juga mesti rajin menyelesaikan masalah rakyat
serta berpengetahuan mengenai dasar kerajaan dan cara menyelesaikan
sesuatu aduan.
"Kalau nak selesaikan masalah dengan Majlis Daerahpun tidak
tahu, itu kira tiada ilmu pengetahuan.
"Tapi bagi saya, dia tidak perlu ada ijazah untuk tahu
bagaimana hendak selesai masalah longkang, masalah orang kampung, kita mahukan
calon yang serasi dengan agensi kerajaan serta tahu sedikit sebanyak
menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dan pemimpin," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan bertanding, Khairy berkata beliau
menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri dan akan tetap
melaksanakan setiap arahan yang diberikan.
0 Komen