Cadangan Anwar Ibrahim untuk menghapuskan PTPTN membuktikan bahawa
Pakatan Rakyat tidak berpandangan jauh dan tidak mampu mencongak kesan atau
akibat dari tindakan tersebut.
Menggunakan akal Pengajian Melayunya, Anwar melihat PTPTN hanya
dari sudut sempit iaitu pinjaman kepada pelajar semata-mata. Sedangkan impak dari penghapusan PTPTN bukan
saja akan melibatkan para pelajar, tetapi semua pegawai dan kakitangan
pentadbiran dan pengurusan pusat-pusat pengajian tinggi sama ada awam atau
swasta serta termasuklah pejabat PTPTN itu sendiri.
Bayangkan berapa ramai pelajar yang tidak mampu melanjutkan
pelajaran tanpa bantuan pinjaman PTPTN dan tanpa pelajar, bagaimana kolej-kolej
dan universiti-universiti swasta akan dapat meneruskan operasi?
Anwar sendiri mengakui yang beliau belum lagi mengkaji secara
mendalam mengenai kos yang terlibat
untuk memastikan kesemua institusi pengajian tinggi dapat berjalan seperti
biasa tanpa PTPTN. Tetapi beliau yakin
yang kos tersebut dapat ditampung dengan ‘kebijaksanaannya’ mengekang rasuah
dan menghapuskan kos-kos lain yang tidak perlu.
Namun, kenyataan Anwar itu sendiri bukan sahaja menunjukkan yang
beliau tidak bijak, malah lebih teruk, buta angka juga. Ia juga menunjukkan yang beliau sebagai
seorang pemimpin tidak bertanggungjawab kerana ingin berbuat sesuatu tanpa
terlebih dahulu memikirkan implikasi secara terperinci.
Hakikatnya, apa yang Anwar cadangkan bukan sahaja akan menambahkan
beban kewangan kerajaan sehingga lebih RM50 billion untuk memberikan
pembelajaran percuma kepada semua, tetapi Anwar juga perlu menyediakan
alternatif lain untuk para pekerja PTPTN.
Ini kerana dengan penghapusan PTPTN, para pekerja di pejabat PTPTN
pasti akan kehilangan kerja.
Justeru, apakah Anwar akan membayar pampasan kepada mereka? Jika ya, berapakah jumlah pampasan yang
sesuai dibayar setelah diambil kira segala faedah yang mereka nikmati di bawah
PTPTN? Atau apakah mereka akan ditukar
dan disumbat masuk ke bahagian lain dalam kerajaan mengikut suka hati
Anwar?
Atau apakah mereka akan dibuang begitu saja dan perlu mencari
kerja lain? Ini tidak mustahil kerana PR
berpegang kepada persaingan secara samarata dalam segala segi. Maka bekas pekerja-pekerja PTPTN itu perlu
memahami bahawa ini adalah satu cabaran yang memberi anjakan untuk mereka
meningkatkan diri keluar dari ‘lindungan’ kerajaan dan bersaing di dalam
ekonomi yang didominasi kaum Cina di luar sana.
Mungkin apa yang dikatakan penulis ini dilihat sebagai provokasi
terhadap Anwar dan PR. Namun, provokasi
atau tidak, perkara yang dibentangkan ini wajar direnung-renungkan oleh semua.
Anwar pasti bertegas menyatakan cadangannya menghapuskan PTPTN
adalah cadangan yang baik lagi bijak.
Dan sekiranya parti beliau menang dalam PRU kali ini, pastinya beliau
akan melaksanakan apa yang dicadangnya.
Apabila ideanya terbukti merupakan satu kesilapan besar, Anwar
akan mengambil jalan mudah dengan memalingkan mukanya ke arah lain. Tak percaya?
Lihatlah apa yang berlaku kepada penduduk-penduduk Kg. Buah Pala di
Pulau Pinang yang terpedaya dengan janji-janji Anwar tetapi akhirnya diusir
bagai sampah dari kampung mereka oleh kerajaan Pakatan Rakyat.
Kerana itu, rakyat wajar berhati-hati dengan apa yang keluar dari
mulut Anwar. Pemikiran dan pandangan
Anwar amat cetek dan beliau juga tidak punya keprihatinan yang tinggi terhadap
rakyat.
Anwar hanya ghairah untuk mencari publisiti dan
menunjuk pandai dan akibatnya beliau telah dengan tidak sengaja menyerlahkan
kedangkalan pemikirannya untuk dinilai oleh kita.
0 Komen